LIVERPOOL 4 CRYSTAL PALACE 0

Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp, berhasrat untuk menonton pertemuan Manchester City dengan Chelsea, tetapi bukanlah kerana dia merancang untuk meraikan gelaran liga.


Skuad kendalian Klopp dalam prestasi yang luar biasa apabila menumbangkan Crystal Palace 4-0 dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) di laman sendiri awal pagi tadi untuk semakin dekat meraih gelaran liga pertama mereka dalam tempoh 30 tahun.

The Reds akan ditabalkan sebagai juara sekiranya City gagal mengatasi Chelsea di Stamford Bridge awal pagi esok dan Klopp mahu menyaksikan aksi tersebut -- tetapi hanya sebagai langkah persediaan.

"Saya akan menonton perlawanan malam esok (awal pagi ini) tetapi bukan sebagai persiapan untuk meraikan kejayaan," katanya dalam sidang akhbar.

"Saya mahu menyaksikan itu kerana kami bakal menentang City seminggu kemudian, jadi saya harus menontonnya terutama aksi menentang Chelsea yang akan bertemu kami juga, jadi perlawanan ini adalah satu pertemuan yang sangat penting untuk ditonton berdasarkan banyak alasan.

"Apa pun yang berlaku esok malam, kami tidak akan mempengaruhinya jadi secara jujurnya saya tidak terlalu berminat (bercakap mengenainya).

"Tetapi saya tetap yakin bahawa perlawanan menentang Man City minggu depan adalah aksi yang harus ditonton oleh setiap peminat bola sepak di planet ini kerana apa jua keputusannya, ia melibatkan pertembungan dua pasukan yang sangat bagus yang saling menyerang dan ia sesuatu yang sangat menarik."





Sekiranya City menundukkan The Blues, skuad Merseyside itu bakal dinobatkan sebagai juara di Stadium Etihad, awal pagi Jumaat depan.

Pendahulu EPL itu menghasilkan empat gol menerusi Trent Alexander-Arnold, Mohamed Salah, Fabinho dan Sadio Mane bagi merakamkan kemenangan ke-28 dalam 31 perlawanan liga musim ini.

"Saya telah berpesan kepada anak-anak buah bahawa apa yang saya mahu lihat malam ini dan saya dambakan dalam tempoh perlawanan tertutup ini adalah permainan terbaik," katanya lagi.

"Saya tidak pasti sama ada ini adalah permainan terbaik, tetapi ia adalah corak serangan balas terbaik di gelanggang tertutup yang pernah dihasilkan.

"Sikap dan semangat yang kami tonjolkan malam ini adalah luar biasa dan kami mempamerkan aksi yang luar biasa."