Pengurus Crystal Palace, Roy Hodgson, tidak pasti kelab itu boleh terus mengekalkan penyerang, Wilfried Zaha, dalam jendela perpindahan Januari nanti.

Pemain antarabangsa Ivory Coast itu mempamerkan aksi mengagumkan apabila menyumbat empat gol Liga Perdana Inggeris (EPL) untuk membantu Palace -- tanpa kalah dalam tujuh perlawanan -- sekaligus mendaki daripada zon penyingkiran untuk menghuni tangga ke-14.

Sekaligus, pemain berusia 25 tahun itu pantas mendapatkan perhatian pasukan teratas EPL, termasuk Manchester City, Arsenal dan Chelsea.

Walaupun Hodgson cuba menahan langkah penyerang serba boleh itu, bekas pengurus England itu akur situasi tesebut mungkin di luar kawalannya.

"Sebagai pengurus, saya tidak fikir boleh memberi apa-apa jaminan," kata Hodgson kepada pemberita dlaam sidang media pra-perlawanan dengan Swansea City, esok.

"Ini adalah pujian yang besar kepada kelab dan Wilf Zaha. Jika ada khabar angin yang mengatakan kelab gergasi sedang memantaunya dan mungkin membuat tawaran, kami sepatutnya gembira.

"Ia bermakna dia melakukan tugasnya, dia membantu kami mendapatkan mata, saya akan melihatnya seperti itu buat masa ini. Jika hari itu tiba nanti, apabila salah satu khabar angin itu menjadi kenyataan, saya akan mengendalikan urusan itu sendiri.

"Jika anda bertanya kepada saya adakah saya mahukan Wilf Zaha kekal, maka saya seperti penyokong Crystal Palace yang lain, sudah tentu saya mahu melakukannya," katanya.

Zaha bakal menggalas tugas utama di jentera serangan selepas Palace kehilangan penyerang, Christian Benteke, akibat penggantungan sementara Joel Ward, Timothy Fosu-Mensah dan Mamadou Sakho tersisih akibat kecederaan.

Hodgson turut mengesahkan kapten, Jason Puncheon, tidak akan dilucutkan daripada jawatan itu selepas dia didakwa menyerang pihak polis dan memiliki senjata dalam satu insiden larut malam.

Pemain itu akan dihadapkan ke mahkamah pada Januari 5 nanti.

"Buat masa ini, dia tetap menjadi kapten kelab dan boleh diturunkan," kata Hodgson. "Kelab akan menunggu sehingga siasatan polis selesai dan kami akan bertindak mengikut fakta keadaan.

"Buat masa ini, kami menganggap dirinya tidak bersalah sehingga dia didapati bersalah atas apa-apa jenayah."