Mesut Ozil sering menghadirkan kekecewaan kepada penyokong Arsenal lebih daripada menceriakan mereka, dengan rata-rata menyatakan persembahannya masih kurang konsisten sejak tiba pada 2013.

Bagaimanapun, melabel pemain tengah itu tidak konsisten di setiap bahagian dilihat tidak adil apabila menyaksikan statistik yang telah direkodkan mengenai pemain tersebut.

Menurut Opta, Ozil, telah menghasilkan peluang paling banyak dalam lima saingan liga utama Eropah sejak 1 Julai 2006 dengan jumlah keseluruhan sebanyak 1,033.

Bilangan tersebut hadir ketika dia mula beraksi bersama Schalke dan Werder Bremen, tiga musim di Real Madrid dan lima tahun sejak menyertai The Gunners.

Ozil jauh meninggalkan pencabar terdekat, Dimitri Payet, yang menghasilkan 1,016 peluang. Cesc Fabregas ketiga dengan 932, David Silva keempat (886) dan Lionel Messi berada di tempat kelima (861).

Menyempurnakan 10 terbaik adalah Eden Hazard (794), Marek Hamsik (740), Juan Mata (723), Francesco Totti (696) dan Cristiano Ronaldo (695).

Mungkin pengkritik perlu melihat secara teliti sebelum mendakwa Ozil "hilang" ketika turun beraksi.