Ozil pasti ada "nafsu besar" untuk kembali bermain, kata Wenger

Oleh Muzaffar Musa 19 Januari 2021 1413
Ozil pasti ada
Mesut Ozil pasti memiliki nafsu besar untuk kembali bermain bola sepak tetapi hanya mampu menyinar dalam "persekitaran selesa" yang akan dimilikinya di Fenerbahce, kata bekas pengurus Arsenal, Arsene Wenger.

Pemenang Piala Dunia, Ozil, semakin hampir untuk berpindah ke pasukan gergasi Super Lig itu selepas tujuh setengah tahun bersama  The Gunners.

Bekas pemain kebangsaan Jerman itu tidak pernah mewakili Arsenal sejak Mac tahun lalu selepas dia tidak disenaraikan sebagai sebahagian daripada skuad bimbingan Mikel Arteta itu dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) dan Liga Juara-Juara Eropah (UCL) musim ini.

Wenger merupakan pengurus yang membawa masuk Ozil ke pasukan itu daripada Real Madrid pada 2013 tetapi pemain tengah itu tidak mendapat perhatian pengurus selepasnya, iaitu Unai Emery dan Arteta.

Bekas pengurus legenda Arsenal itu percaya Ozil mempunyai kualiti untuk dipamerkan menjelang perpindahan terbarunya itu.

"Saya pasti dia amat kecewa kerana tidak dapat bermain. Nafsunya pasti amat besar untuk bermain bola sepak kembali," kata Wanger kepada beIN SPORTS.

"Mesut seorang pemain yang memerlukan persekitaran yang selesa dan saya percaya dia akan memilikinya di Turki berbanding tempat lain.

"Secara keseluruhan, dia mampu memberikan bola yang diperlukan penyerang untuk memenangi perlawanan bola sepak.

"Jika mereka mampu melakukannya dengan baik, mereka mempunyai peluang besar untuk memenangi liga.

"Saya akan mengikuti perkembangannya dengan sebaik mungkin," katanya.
 
 

Tentang Penulis

Muzaffar Musa

Komen