Ozil belum pasti beraksi menentang United

Oleh Staff Writer 4 Disember 2018 356
Ozil belum pasti beraksi menentang United
Pengendali Arsenal, Unai Emery, tidak pasti jika Mesut Ozil akan kembali cergas menjelang pertemuan dengan Manchester United, awal pagi Khamis ini.

Ozil, 30, mengalami kekejangan otot belakang sebelum pertemuan seteru setempat utara London dan tidak disenaraikan ketika The Gunners menundukkan Tottenham Hotspur 4-2.

Perancang dari Jerman itu juga terlepas saingan Liga Europa minggu lalu sewaktu mengatasi Vorskla dan kini masih belum pasti menyertai skuad yang akan berkunjung ke Old Trafford.

"Dia mengalami sakit belakang sejak Selasa lalu. Dia tidak boleh bermain di Kiev serta aksi hujung minggu lalu menentang Spurs," ujar Emery.

"Ketika ini, saya tidak tahu sama ada dia akan beraksi di Manchester.

"Semalam, dia berlatih seorang diri tetapi saya tidak tahu dia boleh melakukannya atau tidak Khamis ini."

Arsenal tidak tewas dalam 19 perlawanan bagi semua kejohanan dan memenangi empat daripada enam pertemuan dengan pasukan gergasi musim ini dan mahu meneruskan kecemerlangan itu menentang United.

The Red Devils tidak menang dalam tiga kunjungan ke tempat lawan susulan keputusan seri 2-2 yang diraih sewaktu bertemu Southampton hujung minggu lalu walaupun tidak tewas di tangan Arsenal di Old Trafford sejak 2006.

"Ia aksi baru, cabaran baru, cabaran besar," tambah Emery.

"Ia perlawanan di tempat lawan dan kami perlu terus meningkatkan pemikiran. Kami sedar kami perlu berubah untuk menjadi lebih kompetitif.

"Saya rasa pemain sedang melakukannya tetapi ia satu cabaran baru kerana kami bakal berdepan United di laman lawan dan ia berbeza dengan aksi yang lain.

"Bagi kami, ia perlawanan yang menarik. Persiapan untuk aksi ini juga menjadi satu motivasi. Jika kami lebih kurang sekarang, kami perlu membuktikannya."

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen