Alex Oxlade-Chamberlain akan diketepikan sepanjang persiapan pramusim Liverpool gara-gara kecederaan lutut.

Pemain tengah England itu mengalami kecederaan berkenaan ketika melakukan terjahan dalam kem latihan Liverpool di Austria.

Pemain berusia 27 tahun itu sudah pulang ke pusat latihan juara Liga Perdana Inggeris (EPL) itu di Melwood bagi menjalani proses pemulihan.

Pengurus The Reds, Jurgen Klopp, percaya kecederaan itu mirip seperti yang menimpa Jordan Henderson bulan lalu, di mana kapten pasukan itu tidak dapat beraksi dalam empat perlawanan terakhir musim ini tetapi tidak perlu menjalani pembedahan.

"Amat malang. Ia amat malang kerana ia satu terjahan dalam sesi latihan," kata Klopp dalam laman web rasmi Liverpool.

"Ia kelihatan amat mirip dengan apa yang berlaku kepada Hendo, yang menyaksikan dia terpaksa direhatkan untuk tempoh yang kami tidak tahu sampai bila tetapi apa yang pasti, dia tidak akan terlibat dengan sebarang perlawanan pramusim."

Liverpool akan menentang Arsenal dalam perlawanan Perisai Komuniti di Wembley, Ahad depan sebelum memulakan misi mempertahankan kejuaraan EPL dengan menentang pendatang baru, Leeds United.

"Sudah pasti bukan dalam perlawanan menentang Arsenal, selepas itu kita akan lihat," kata Klopp ketika membincangkan mengenai tempoh pemulihan Oxlade-Chamberlain.

"Mungkin dua minggu selepas perlawanan itu tetapi saya juga tidak tahu.

"Kami perlu menunggu tetapi ia masih teralu jauh untuk sempurna, itu sudah pasti.

"Ia amat sukar untuknya dan amat sukar untuk kami tetapi tiada apa yang akan berubah," katanya lagi.

Oxlade-Chamberlain melakukan 43 penampilan dalam kesemua kejohanan musim lalu selepas terlepas hampir semua perlawanan musim 2018-19 juga kerana kecederaan lutut.