Alex Oxlade-Chamberlain mendedahkan mesej Jurgen Klopp kepada pemain-pemain Liverpool selepas mereka gagal merangkul gelaran Liga Perdana Inggeris (EPL) musim lalu.

Liverpool meraih 97 mata dalam saingan EPL musim 2018-19, tetapi ketinggalan satu mata kepada juara bertahan, Manchester City.

Mereka bangkit dengan meraih 27 kemenangan daripada 29 perlawanan musim ini, mendahului saingan dengan 25 mata sebelum saingan ditangguh ekoran pandemik koronavirus.

Oxlade-Chamberlain berkata Klopp telah memberitahu apa yang diperlukan pemain-pemain di sebalik aksi cemerlang musim lalu.

"Anda boleh melihat dengan dua cara. Anda boleh berfikir bagaimana pasukan yang memungut 97 mata dan menamatkan saingan di tempat kedua? Itu adalah satu cabaran yang besar buat setiap pemain. Anda tidak boleh mengulangi musim yang cemerlang seperti ini," katanya.

"Musim sebelumnya, City telah meraih 100 mata. Jadi kita harus mengambil satu perlawanan demi satu perlawanan. City adalah pasukan yang harus dihormati kerana mereka hampir mengulangi mencapaian yang sama dengan meraih 98 mata."

Oxlade-Chamberlain memuji perwatakan di sekeliling skuad Liverpool, yang meletakkan sasaran untuk bergelar juara EPL buat pertama kali sejak 1990.

"Tiada ego dalam pasukan ini. Pemain bertaraf bintang berusaha sebaik mungkin untuk pasukan. Hubungan setiap individu dalam pasukan ini meletakkan kami di landasan yang tepat."