Alex Oxlade-Chamberlain mendedahkan dia mungkin meninggalkan Arsenal untuk beraksi dalam kesebelasan utama.

Pemain kebangsaan England itu menyertai Arsenal pada 2011 tetapi masih gagal untuk menjadi pemain tetap, dengan separuh daripada penampilannya adalah sebagai pemain gantian.

Pemain sayap itu banyak menghabiskan masa di bangku simpanan, dengan kecederaan terbarunya telah memaksanya untuk melupakan hasrat beraksi dalam Euro 2016.

Arsene Wenger berkata musim ini adalah penting buat perkembangan Oxlade-Chamberlain, bagaimanapun pemain berusia 23 tahun itu tetap memulakan permainan sebagai pemain gantian.

Oxlade-Chamberlain berkata dia gembira untuk kekal di Stadium Emirates, namun mengakui dia harus melakukan sesuatu mengenai masa depannya.

"Sebagai seorang pemain bola sepak, anda mahu bermain dalam setiap perlawanan," katanya.

"Saya perlu lebih kerap bermain dan saya akan terus berusaha bersama Arsenal untuk merebut peluang itu.

"Sasaran utama saya adalah untuk membantu Arsenal dan terus mencabar diri saya untuk mendapatkan tempat di dalam pasukan.

"Saya ada terfikir untuk beraksi dengan kelab lain untuk mendapatkan lebih banyak masa bermain tetapi saya mahu memberikan tumpuan penuh untuk musim ini.

"Jika saya masih gagal menyerlah, saya perlu melakukan sesuatu."