Divock Origi yakin permainannya bertambah baik walaupun berdepan peluang terhad di Liverpool apabila ingin terus bekerjasama dengan Jurgen Klopp.

Origi memahat namanya sebagai wira Anfield musim lalu menerusi jaringan penting termasuk gol kemenangan dalam perlawanan akhir Liga Juara-Juara (UCL) ke atas Tottenham.

Pemain antarabangsa Belgium itu mencetak lima gol lagi musim ini, namun namanya di belakang trio utama; Mohamed Salah, Roberto Firmino dan Sadio Mane bagi tugasan merobek gawang lawan.

Origi menandatangani kontrak "jangka masa panjang" di Merseyside Julai tahun lalu, jadi tiada sebab dia mahu berhijrah.

"Saya menjadi pemain yang lebih baik berbanding tahun lalu," kata penyerang berusia 25 tahun itu kepada Het Laatste Nieuws.



"Klopp memberi saya ruang untuk mengembangkan diri.

"Saya selalu mengikut kata hati dan terus berusaha. Kami telah berbincang dengan Liverpool dan kami sedang menuju kejayaan yang terbentang di hadapan kami. Saya hanya mahu meningkatkan prestasi.

"Ini adalah satu projek untuk saya dan saya ingin mengikutinya. Saya tidak tahu berapa lama lagi saya akan melakukannya. Saya berasakan bahawa saya sedang membuat kemajuan, jadi sayangnya musim ini terhenti kerana wabak novel koronavirus (Covid-19)."

Penyerang tinggi lampai tersebut juga masih bersemangat untuk bercakap mengenai jaringannya ke atas Spurs sambil menambahkan: "Saya berasa sangat gembira pada saat itu. Ia adalah saat yang sangat menenangkan.

"Saya berasa dekat dengan penyokong. Saya melihat ekspresi wajah mereka. Ia adalah satu perasaan yang sangat sukar untuk dijelaskan.

"Andy Robertson melompat ke belakang saya disusuli Fabinho bergabung dan Virgil Van Dijk. Sukar mempercayai.

"Setiap hari yang berlalu, semakin saya menikmatinya. Ia seperti wine, semakin matang seiring dengan waktu."