Nuno Espirito Santo tidak akan terganggu dengan spekulasi "tidak konkrit" apabila disebut-sebut akan menggantikan Unai Emery di Arsenal.

Tekanan ke atas Emery semakin meningkat selepas mengharungi enam perlawanan tanpa kemenangan dalam semua pertandingan, dengan laporan bahawa pengurus itu di ambang pemecatan.

Sementara itu, Nuno terus membina reputasinya dengan meletakkan Wolves di tangga kelima Liga Perdana Inggeris (EPL), tiga tangga di atas The Gunners, menjelang peringkat kalah mati Liga Europa.

Pengurus Portugis tersebut enggan melayani spekulasi berkenaan dalam sidang akhbar semalam.

"(Khabar angin tersebut) bukanlah satu gangguan (buat saya)," kata Nuno.

"Anda mengenali saya. Saya tidak bercakap tentang kalau, saya tidak bercakap tentang kemungkinan, saya tidak bercakap mengenai perkara yang tidak benar.

"Anda cukup mengenali saya dan anda sedar bahawa saya tidak akan menjawabnya.

"Saya tidak akan pernah bercakap mengenai satu isu yang bukan realiti. Terutama memandangkan ada pengurus yang masih menjawat tugasan berkenaan, ia suatu sikap kurang sopan."

Ditanya apakah dia gembira dengan Wolves, Nuno menambah: "Saya fikir kami dalam keadaan baik-baik saja.

"Ia memerlukan usaha keras dan setiap hari merupakan peluang untuk meningkatkan prestasi dan inilah yang kami mahu lakukan bersama-sama."

Wolves dan Arsenal masing-masing akan menghadapi saingan Liga Europa awal pagi esok yang menyaksikan pasukan bimbingan Nuno itu akan bertandang ke Braga sementara The Gunners akan menjadi tuan rumah kepada Eintracht Frankfurt.