Pengurus Wolverhampton Wanderers, Nuno Espirito Santo, yakin bahawa gol pertama Cardiff City ketika menewaskan pasukannya 2-1 dalam aksi Liga Perdana Inggeris awal pagi tadi sepatutnya dibatalkan.

Nuno mendakwa penjaga golnya, Rui Patricio, dikasari sebelum gol itu dijaringkan.

Cardiff bangkit daripada ketinggalan dalam aksi di Wales itu.

Mereka kini terkeluar darpada kedudukan bahaya, tiga tangga terbawah liga.

Wolves terlebih dahulu di depan menerusi penyudah jarak dekat Matt Doherty susulan tandukan awal Raul Jiminez yang diselamatkan Neil Ethridge.

Bagaimanapun, Aron Gunnarsson menyamakan kedudukan menerusi jaringan akrobatik selepas sejam perlawanan, dengan Patricio turut dihalang Callum Petterson.

Perlawanan itu ditamatkan menerusi jaringan menakjubkan oleh Junior Hoilett yang memastikan kemenangan buat Cardiff, namun Nuno menganggap jaringan penyamaan Gunnarson sebelum itu tidak sepatutnya dikira.

"Ia sukar untuk diperkatakan. Sebagai seorang bekas penjaga gol, saya rasakan ia merupakan satu kekasaran," katanya kepada BBC Sports.

"Setiap kekalahan sukar untuk diterima, namun apabila anda sedang mendahului dan keputusan itu berubah, ia lebih sukar.

"Kami memaparkan aksi yang lebih baik berbanding ketika tewas kepada Huddersfield Town, minggu lalu.

"Namun, kami tidak dapat mengekalkan pendahuluan dalam separuh masa kedua," tambahnya.