Pengendali Wolverhampton Wanderers, Nuno Espirito Santo, berkata dia sudah berpuas hati apabila Willy Boly menjaringkan gol penyamaan sebelum skuad bimbingannya menewaskan Tottenham Hotspur 3-1 di Wembley, awal pagi tadi.

Tandukan Boly hadir menerusi percubaan tepat pertama Wolves pada minit ke-72 sebelum Raul Jimenez dan Helder Costa mengesahkan kemenangan mengejut.

Pelawat terlebih dahulu dikejutkan dengan rembatan deras Harry Kane dan ketinggalan sehingga Boly menyamakan kedudukan.

Dan Nuno jelas gembira jika sekadar meraih satu mata selepas anak buahnya menyamakan kedudukan.

"Babak kedua sangat baik. Kami menguasai perlawanan dan berpeluang menjaringkan gol serta menghasilkannya," kata Nuno.

"Kami menaruh sepenuh kepercayaan selepas gol penyamaan itu dan saya melihat keputusan seri sudah memadai tetapi tidak dapat mengawal emosi pemain apabila mereka melihat ruang diberikan.

"Ia bagus untuk bilik persalinan tetapi bermain seperti ini di Wembley -- laman utama bola sepak -- adalah sesuatu yang bernilai.

"Kami mencapai sesuatu yang sangat istimewa untuk ke Liga Perdana Inggeris dan tahun ini menjadi tahun yang indah."

Wolves kini menduduki tangga ketujuh liga dan bakal melayan kunjungan Crystal Palace, Rabu ini.