Pengurus Sporting CP, Silas, menganggap nilai pemain luar biasa seperti Bruno Fernandes sepatutnya lebih tinggi di celah-celah laporan yang mengaitkannya semakin hampir memeterai perjanjian dengan Manchester United.

Fernandes dilaporkan semakin hampir untuk menyertai gergasi Liga Perdana Inggeris (EPL) yang sedang bergelut itu dengan bayaran sekitar £51 juta (RM270.8j) sungguhpun Sporting dipercayai menuntut yuran perpindahan lebih tinggi.

Selepas mengesahkan Fernandes akan tersenarai untuk menghadapi musuh ketat, Benfica, dalam pertembungan yang mencuri perhatian awal pagi esok, Silas turut memuji ketua pasukannya itu.

"Dia adalah pemain yang luar biasa, yang terbaik dan paling berharga dalam kancah ini sebagaimana musim lalu," katanya kepada wartawan.

"Saya pernah mendengar seseorang mengatakan bahawa tanda harganya tidak menepati nilai prestasinya dan ia memang benar, dia sepatutnya bernilai lebih tinggi daripada itu.

"Selain menyerang, dia juga berkorban untuk membantu pertahanan. Bruno adalah yang terbaik dan yang paling berharga. Apabila kami mempunyai pemain sedemikian, adalah normal untuk semua pihak mendambakannya."

Pemain tengah berusia 25 tahun itu, yang kerap dikaitkan dengan United, Tottenham dan Real Madrid dalam jendela perpindahan sebelum ini, telah meledak 15 jaringan musim ini setelah menyumbat 31 gol, termasuk 20 gol dalam Liga Primeira musim lalu.



​Editor: Shaiful Shamsudin