Rafael Benitez menegaskan ia adalah realiti bahawa Newcastle United menghadapi kesukaran untuk bersaing dengan kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) dalam jendela perpindahan serta menggesa penyokong untuk terus memberikan semangat kepada The Magpies.

Newcastle menempuhi saat sukar, dengan mencatatkan empat kekalahan berturut-turut dan hanya menjaringkan satu gol yang meletakkan mereka di tangga ke-14.

Benitez kecewa dengan jendela perpindahan lalu selepas beberapa pesaing lain berbelanja sejumlah wang yang besar untuk mendapatkan pemain.

Pengendali kelahiran Sepanyol itu percaya Newcastle mempunyai bakat yang secukupnya untuk bangkit dan berasakan situasi mungkin bertambah teruk.

"Realitinya jika anda mahu mendapatkan pemain yang mampu menjaringkan 20 gol setiap tahun, nilainya adalah GBP40 juta (RM219 juta). Penyerang yang sederhana bernilai GBP20 juta (RM109 juta) hingga GBP30 juta (RM164 juta)," kata Benitez.

"Kami tidak melakukannya, ia menjadi punca keadaan yang kami hadapi. Kami perlu bersaing dengan Huddersfield, Brighton atau Burnley.

"Kami tidak mampu membayar sebanyak yang mereka mampu dengan tawaran gaji yang telah ditetapkan," katanya.

Selepas kekalahan 3-0 kepada Watford, Benitez percaya penyokong menyedari cabaran yang harus dihadapi oleh Newcastle.

"Penyokong menghargai barisan pemain ini dan benar-benar mengambil berat di atas usaha mereka.

"Kami mengharungi saat sukar dan kini menghuni tangga ke-14. Sasaran kami adalah kekal dalam saingan EPL, tiada siapa yang menyifatkan ia satu tugas mudah," katanya lagi.