Rafael Benitez berkata Newcastle United memerlukan satu lagi keajaiban untuk mengelak daripada penyingkiran Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini.

The Magpies kini memiliki lima mata di atas tiga pasukan tercorot selepas 17 perlawanan tetapi telah menang hanya empat kali musim ini.

Benitez dan pasukan bimbingannya akan berdepan Liverpool esok dan beliau beranggapan sukar buat pasukannya untuk bersaing jika pesaing terdekat terus melaburkan sejumlah wang yang besar untuk memperkuatkan pasukan.

"Kami perlu bersikap realistik dan memahami bahawa kami akan bersaing untuk mengelak daripada penyingkiran," katanya.

"Bagi saya, kami mampu beraksi dengan lebih cemerlang berbanding tiga pasukan tercorot bagi musim ini. Ia akan menjadi satu lagi keajaiban buat Newcastle," ujarnya.

Dengan spekulasi mengenai pengambilalihan kelab yang berterusan, Benitez tidak pasti jika beliau akan diberikan perbelanjaan untuk mendapatkan pemain dalam jendela perpindahan bulan depan sambil menegaskan "tiada peluang" untuk pasukannya meraih kemenangan berdepan pasukan yang memperkuatkan skuad dengan membeli pemain baru.

"Saya menyedari apa yang perlu dihadapi dan mengetahui kedudukan kami. Anda dapat melihat sendiri, pasukan telah berusaha untuk melakukan sesuatu tetapi masih tidak cukup untuk meraih mata.

"Jika kami beraksi di bawah tekanan dan berasakan tekanan itu, kami tidak mampu bermain dengan baik dan mampu melakukan kesilapan."