Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp, percaya mustahil untuk The Reds meniru era dominasi Manchester United ketika mereka semakin menghampiri gelaran Liga Perdana Inggeris (EPL).

Skuad Liverpool yang dikendalikan Klopp unggul mendahului saingan EPL dengan berkelebihan 22 mata menjelang pertemuan dengan Everton di Goodison Park untuk perlawanan derby Merseyside.

Sejak 1990, Liverpool tidak berjaya merangkul trofi liga tetapi kelab ini bakal dinobatkan sebagai juara Inggeris buat kali ke-19, satu di belakang rekod United.

United mendominasi bola sepak Inggeris ketika di bawah pimpinan Alex Ferguson, yang memenangi 13 gelaran liga antara 1992 dan 2013.
"Sejujurnya, saya berasakan sukar untuk mendominasi saingan EPL," kata Klopp, yang Liverpool meraih trofi Liga Juara-Juara (UCL) musim lalu.

"United mempunyai kombinasi yang cukup baik, dengan pengurus yang luar biasa, memiliki kelebihan untuk mengintai pemain-pemain yang berkualiti dan sudah lama bersama pasukan.

"Mereka juga mendapatkan pengganti pemain yang turut memberikan impak -- dan adanya sokongan perbelanjaan daripada kelab. Gabungan yang dimiliki United sangat bagus. Kami mesti mengambil keputusan yang betu jika mahu terus berjaya.

"Dan percayalah, pasukan-pasukan lain tidak akan berhenti. United akan bangkit sementara Chelsea mendahului jendela perpindahan sementara pasukan lain masih tidak melakukan apa-apa kerana masa begitu tidak menentu.

"Dan ketika saya melihat Manchester City mengalahkan Arsenal, saya bertanya bagaimana mungkin kami berkelebihan 22 mata berbanding mereka?"