Pengurus Tottenham, Mauricio Pochettino, berkata adalah mustahil untuk meletakkan tanda harga pada penyerang, Harry Kane.

Kane – berkemungkinan besar tidak dapat beraksi pada 2 Januari bertemu Swansea kerana mengalami masalah kesihatan -- menjaringkan dua hatrik dalam dua penampilan aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) berdepan Burnley dan Southampton.

Penyerang England itu telah memecahkan rekod Alan Shearer selaku penjaring terbanyak dalam satu tahun kalendar, sekaligus memintas Lionel Messi sebagai penjaring terbanyak untuk kelab dan negara pada tahun 2017.

Kane mendedahkan dia gembira untuk kekal di Tottenham sepanjang kariernya walaupun dikaitkan dengan perpindahan ke Real Madrid.

Pochettino yakin mampu memastikan bintangnya itu kekal selepas Kane meletakkan sasaran untuk memintas Shearer sebagai penjaring terbanyak EPL sepanjang zaman.

"Kami mahu Kane di Spurs, buat masa ini dia tidak memiliki (tanda) harga," kata Pochettino.

"Kami boleh berbincang mengenani banyak perkara tetapi mustahil untuk meletakkan tanda harga padanya.

"Ia terpulang kepada (pengerusi kelab) Daniel Levy, bukan saya.

"Buat masa ini, tiada apa yang berubah. Buat saya, dia adalah bintang pada tiga tahun yang lalu, setahun yang lalu, enam bulan dan satu minggu yang lalu. Kane sentiasa dijulang sebagai bintang.

"Kami mempercayai Kane sejak hari pertama dia bersama kami kerana kami dapat berasakan dia memiliki potensi yang sangat besar," katanya lagi.