Ketua Pegawai Eksekutif Borrusia Dortmund, Hanss-Joachim Watzke, menegaskan mustahil untuk pemain Manchester United, Henrikh Mkhitaryan, membuat penampilan semula bersama kelab itu, Januari ini.

Masa depan pemain kebangsaan Armenia itu menjadi perbualan utama selepas gagal untuk berada dalam perancangan Mourinho di Old Trafford.

Pemain berusia 28 tahun itu beraksi sebagai pemain gantian ketika tewas kepada Bristol City dalam aksi Piala EFL dan ketika seri 2-2 dengan Leicester City untuk perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL).

Sejak kekalahan 1-0 kepada Chelsea, Mkhitaryan gagal mendapatkan tempat dalam kesebelasan utama.

Mourinho menyifatkan Mkhitaryan "hilang" dalam perlawanan serta menegaskan beliau tidak akan menghalang pemain-pemain yang mahu meninggalkan kelab.

Dortmund telah dikaitkan untuk mendapatkan semula pemain itu, selepas menjualnya 18 bulan lalu dengan nilai yang dilaporkan sebanyak GBP27 juta (RM147 juta) tetapi Watzke percaya kelab itu tidak mampu untuk berbelanja, Januari ini.

"Saya menyedari kelab memerlukan pemain sepertinya tetapi ia adalah satu perpindahan yang mustahil dilakukan pada Januari ini," katanya

Watzke, bagaimanapun, bercadang untuk memberikan pelepasan kepada Andre Schurrle jika pemain kebangsaan Jerman itu mahu meninggalkan kelab.

"Saya mendengar daripada ejen yang mencadangkan Schurrle memerlukan lebih banyak masa untuk beraksi. Jadi, jika pemain tersebut terdesak untuk meninggalkan kelab, kami sedia memberikan pelepasan.

"Tetapi buat masa ini, perkara tersebut masih tidak berlaku," katanya.