Pertahanan Jerman, Shkodran Mustafi, mahu menggunakan peluang beraksi di pentas antarabangsa untuk mempelajari teknik daripada rakan sepasukan, Jerome Boateng dan Mats Hummels.

Dua pertahanan Bayern Munich itu dijangka diturunkan selaku gandingan utama barisan pertahanan Jerman dalam aksi kelayakan berdepan Republik Czech pada Sabtu dengan Mustafi bertindak sebagai pemain gantian.

Mustafi, yang menyertai Arsenal dari Valencia awal musim ini, berkata dia menjadikan kedua-dua pemain itu sebagai inspirasinya.

"Saya memandang tinggi kepada Jerome dan Mats," katanya kepada pemberita. "Mereka telah membuktikan kemampuan mereka bersama skuad kebangsaan dan di peringkat kelab.

"Mereka telah merangkul pelbagai kejuaraan, jadi banyak yang saya boleh pelajari daripada mereka.

"Tetapi dengan kualiti yang dimiliki skuad ini, setiap detik mewakili skuad kebangsaan merupakan peluang untuk saya memperbaiki aksi."

Pemain berusia 24 tahun itu mengakui dia tidak berdepan masalah untuk beraksi di peringkat kelab dan antarabangsa.

"Saya telah berpindah pasukan untuk beberapa kali," kata pemenang Piala Dunia 2014 itu."Ketika ini saya tidak berdepan masalah untuk menyesuaikan diri dalam apa jua keadaan."