Arsenal akan turun tanpa Shkodran Mustafi bagi aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) menentang Southampton, esok.

Pertahanan tengah itu terpaksa digantikan sebaik Manchester United meledak gol kedua dalam kemenangan 3-1 di Stadium Emirates, minggu lalu.

Menurut pengurus, Arsene Wenger, tonggak antarabangsa Jerman itu akan kembali cergas untuk menghadapi West Ham pada pertengahan minggu depan, bagaimanapun dia tidak akan terlibat dalam perlawanan di Stadium St Mary's.

"Satu-satunya pemain yang tersisih adalah Mustafi. Khidmatnya tidak dapat digunakan esok," kata Wenger kepada laman sesawang Arsenal.

Wenger berharap Theo Walcott akan sedia beraksi selepas dia dikeluarkan pada separuh masa kedua ketika mereka membelasah Bate 6-0 dalam saingan Eropah, semalam.

"Dia dalam keadaan baik (selepas perlawanan)," katanya. "Dia mengalami kecederaan ringan di betis dan sebab itulah saya mengeluarkannya. Dia kelihatan baik selepas perlawanan.

"Saya percaya penggiliran sedikit-sebanyak akan membantu mereka manakala pemain yang tidak beraksi dalam Liga Europa tidak perlu mengikuti rombongan, maka langkah ini membantu."