Musim depan bermula hari ini, kata Sterling

Oleh Nafis Abdullah 3 Julai 2020 680
Musim depan bermula hari ini, kata Sterling
Raheem Sterling berkata Manchester City memulakan pemburuan bangkit pada musim depan dengan kemenangan 4-0 ke atas pasukan yang baru mengesahkan status juara Liga Perdana Inggeris, Liverpool.

Skuad kendalian Pep Guardiola itu jelas menggungguli The Reds yang beraksi buat kali pertama sejak menamatkan kemarau trofi liga selama 30 tahun, minggu lalu.

Kevin De Bruyne meledakkan sepakan penalti selepas Sterling dikasari Joe Gomez sebelum penggempur England itu menambah jaringan kedua, diikuti dengan ledakan Phil Foden serta jaringan sendiri Alex Oxlade-Chamberlain untuk melengkapkan kemenangan juara musim lalu itu.

"Liverpool cemerlang sepanjang tahun ini," kata Sterling.

"Kami tahu perlu tampil cemerlang kerana mahu mendapatkan aksi terbaik berdepan mereka.

"Kami berdepan ujian juara baru dan mahu mendapatkan mata. Kami berjaya. Musim depan bermula hari ini dan kami menjalankan tugas dengan baik."

Foden sekali lagi menjadi tunjang kepada aksi positif City dan Sterling teruja dengan persembahan matang pemain berusia 20 tahun itu.

"Ini adalah pasukan yang sedang melalui proses perubahan," tambah pemain sayap itu.

"Anda boleh lihat kematangan Foden.

"Dia berumur 20 tahun dan seperti sudah lama beraksi bersama skuad utama. Pujian untuknya. Setiap peluang yang diraih, dia gunakan dengan baik."

Tentang Penulis

Nafis Abdullah

Komen