Jose Mourinho mengakui bahawa Tottenham Hotspur mungkin mula dapat merasakan kesan daripada usaha mengejar kelompok empat teratas tetapi percaya ia bakal jadi kisah berbeza, musim depan.

Semalam, walaupun beraksi di bawah tahap sebenar, Spurs bangkit daripada ketinggalan untuk menewaskan Brighton and Hove Albion 2-1, empat hari selepas dikecewakan Chelsea 2-0.

Spurs kini sekali lagi ketinggalan tiga mata berbanding Chelsea, yang tewas 2-0 di tangan Southampton tetapi Mourinho lebih bersikap realistik mengenai peluang untuk berada dalam kelompok empat teratas.

Mourinho, yang menggantikan Mauricio Pochettino selaku pengurus sambil Spurs ketinggalan 11 mata di belakang slot ke Liga Juara-Juara Eropah, berkata: "Saya bermula dengan negatif 12. Negatif 12.

"Berbekalkan negatif 12, anda perlu mendapatkan semula 12 mata dan itu banyak. Itu yang berlaku, anda boleh beritahu saya. Anda boleh katakan, beberapa hari lalu, anda ketinggalan tiga mata dan berpeluang untuk berkongsi mata. Anda betul.

"Namun, masalah ketika proses pemulihan adalah anda tidak boleh sentiasa menang dan orang lain tidak akan sering kalah.

"Sukar untuk jadikan 12 kepada sembilan, lapan, kosong. Sangat sukar untuk memulihkan jarak 12 mata. Kami negatif tiga dan cuba untuk mencapai kedudukan itu.

"Apabila kami bermula musim depan dengan mata sama, ia kisah berbeza. Namun, buat masa sekarang ia sukar dan pemain dapat rasakannya. Jadi, ia tidak mudah tetapi kami akan mencuba."

Sambil memberi contoh kempen Serie A musim 2006-07 selepas Juventus tersingkir akibat penglibatan dalam skandal Calciopoli, Mourinho menambah: "Sesetengah pasukan memulakan musim depan mata negatif.

"Mereka beraksi sehingga penghujung musim dan anda boleh lihat bagaimana mereka terkesan daripada situasi itu."


Editor: Nafis Abdullah