Bekas pemain Manchester United, Ronny Johnsen, menganggap musim baru Liga Perdana Inggeris (EPL) yang akan bermula Ogos depan, akan menjadi satu lagi musim mencabar buat skuad kendalian Ole Gunnar Solskjaer itu.

Bagaimanapun, bekas pemain pertahanan yang pernah memenangi kejuaraan 'treble' (EPL, Piala FA dan Liga Juara-Juara Eropah) bersama United pada 1999 itu, tetap yakin Solskjaer memiliki perancangan terbaik untuk kelab berkenaan.

"Ia pasti akan menjadi satu lagi musim yang menyeronokkan, namun mencabar buat United, terutama apabila memulakan saingan dengan bertemu Chelsea.

"Saya juga berharap United akan mengharungi aksi pra-musim yang baik sebelum saingan bermula.

"Kita akan lihat nanti, ia satu musim yang besar buat semua orang," katanya ketika ditemui dalam majlis makan malam tahunan Kelab Penyokong Manchester United Malaysia (United Malaysia) di Kota Kinabalu, semalam.

Johnsen berkata sebagai bekas pemain, Solskjaer diyakini mampu mengendalikan kelab itu dengan baik dan dia akan sentiasa memberikan sokongan kepada bekas rakan sepasukannya itu.

"Kami pernah beraksi bersama bukan saja di United tetapi juga ketika mewakili Norway.

"Kami sebagai bekas pemain United sentiasa memberikan sokongan kepada Solskjaer.

"Dia pernah bermain untuk United dan dia mengenali kelab itu dan saya rasa ia satu kekuatan kepadanya," katanya.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai kehadiran pertahanan Crystal Palace, Aaron Wan-Bissaka, yang dikatakan telah menyertai United, Johnsen berpendapat pemain itu mampu memberikan impak kepada corak permainan The Red Devils.

"Menyertai United adalah satu langkah besar yang dibuat Wan-Bissaka, namun saya yakin Solskjaer telah mengambil kira semua perkara sebelum membuat keputusan.

"Dia masih muda dan seorang pemain pertahanan yang agak pantas tetapi bermain untuk United berbeza dengan kelab-kelab lain. Saya harap dia akan menyerlah. Kita akan lihatnya nanti," katanya.