BRIGHTON 2 MANCHESTER UNITED 3

Bruno Fernandes menjaringkan sepakan penalti menerusi tendangan terakhir perlawanan ketika Manchester United memastikan kemenangan mendebarkan 3-2 ke atas Brighton & Hove Albion yang nyata tidak bernasib baik apabila lima percubaan mereka terkena tiang.


Pemain Portugis tetap tenang untuk menyempurnakan peluang terakhir di Stadium Amex itu secara dramatik bagi mengelak daripada berputih mata.

Brighton, yang tidak menunjukkan tanda-tanda keletihan walaupun mengharungi perlawanan kelima dalam tempoh 13 hari, menggegar kedua-dua palang pelawat dalam babak pertama sebelum memecahkan kebuntuan menerusi sepakan penalti ala panenka yang dilakukan Neen Maupay.

United -- yang perlu bertindak balas terhadap kekalahan kepada Crystal Palace dalam aksi pembukaan minggu lalu -- menyamakan kedudukan selepas 187 saat selepas Lewis Dunk tertampan bola ke gawang sendiri susulan situasi bola mati Fernandes yang mencetuskan masalah.

Pengadil, Chris Kavanagh, kemudian membatalkan sepakan penalti yang diberikan kepada tuan rumah pada awal babak kedua selepas membuat penilaian semula, secara tidak langsung memberikan kelegaan buat Paul Pogba yang awalnya dipersalahkan kerana menjatuhkan Aaron Connolly.

Pasukan bimbingan Ole Gunnar Solskjaer itu kemudian memanfaatkan sepenuhnya kedudukan tesebut yang menyaksikan Marcus Rashford menebus kekecewaan awalnya akibat jaringannya dibatalkan dengan menyerbu ke dalam kotak penalti sebelum melepaskan percubaan menarik yang terbias mengenai Dunk untuk The Red Devils 2-1 di depan.

Nasib seakan-akan tidak menyebelahi skuad bimbingan Graham Potter itu apabila giliran percubaan Solly March dan Leandro Trossard mengenai tiang dan palang gol sebelum mereka melompat kegembiraan apabila berhasil menyamakan kedudukan di penghujung permainan.

Tetapi drama perlawanan itu belum mahu berakhir apabila tandukan Harry Maguire terkena tangan Maupay -- bola melambung menuju ke pintu gol sebelum diselamatkan di atas garisan oleh March -- dan rayuan United didengari pengadil untuk sepakan penalti.

Fernandes kemudian melepaskan rembatan deras ke sebelah kanan bagi memastikan tiga mata sulung buat mereka dalam kempen musim ini sekali gus meredakan tekanan yang dihadapi.