West Ham United melantik David Moyes sebagai pengurus baru selepas memecat Slaven Bilic, semalam.

Bilic mengharungi permulaan musim yang sukar walaupun memiliki sokongan dengan mendapatkan beberapa pemain baru ketika jendela perpindahan musim panas lalu.

Perlawanan terakhir pengendali kelahiran Croatia itu yang berkesudahan dengan kekalahan 4-1 di tangan Liverpool meletakkan skuad The Hammers dalam zon penyingkiran.

Moyes -- menandatangani kontrak sehingga penghujung musim ini -- mengambil alih tugas Bilic dalam membantu pasukan untuk terus beraksi dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL).

Bekas jurulatih Everton dan Manchester United berkenaan mengesahkan minatnya terhadap tugas di kelab itu serta mendapat sokongan daripada peminat West Ham.

"Saya tidak sabar untuk bertemu dengan peminat, berada di dalam stadium bersama mereka. Saya tidak sabar untuk berjumpa dengan pemain. Kami memerlukan sokongan daripada semua pihak.

"Ia adalah tugas yang besar tetapi saya pasti semua perlu bersatu. Kami akan berusaha mendapatkan keputusan yang positif pada penghujung musim ini," katanya.

Ini merupakan tugas pertama Moyes selepas meninggalkan jawatannya di Sunderland pada Mei lalu selepas gagal membimbing skuad Black Cats untuk kekal dalam EPL.

Moyes turut gagal dalam tempohnya bersama United dan Real Sociedad selepas 11 tahun bersama Everton.

Beliau bakal mengharungi dua minggu yang getir, dengan kunjungan ke Watford selepas aksi perlawanan antarabangsa -- perlawanan EPL Moyes yang ke-500.

Pengerusi Bersama West Ham, David Sullivan, berkata: "Kami memerlukan seseorang berpengalaman yang memiliki pengetahuan tentang EPL dan pemain-pemain yang beraksi dalam liga ini. Kami percaya Moyes adalah pilihan terbaik untuk mengambil alih tugas ini.

"Beliau seorang yang dihormati dan akan membawa masuk idea baru ke dalam pasukan.

"Beliau telah membuktikan kualitinya ketika bersama Everton dan West Ham adalah kelab terbaik untuk Moyes kembali mencari sentuhannya," katanya.