David Moyes terbuka mengenai peluangnya untuk kembali mengurus Everton tetapi dalam masa sama mendedahkan minat pasukan lain terhadapnya.

Moyes bersama Everton selama 11 tahun sebelum mengendalikan Manchester United hanya selama 10 bulan pada musim 2013/14 susulan prestasi pasukan yang tidak konsisten.

Dia kemudian membimbing Real Sociedad dan Sunderland sebelum melepaskan jawatan sebagai pengurus selepas The Black Cats tersingkir ke Liga Kejuaraan.

Pemecatan Ronald Koeman di Goodison Park bulan lalu telah menyebabkan nama Moyes muncul sebagai antara calon pengganti dan pengurus berbangsa Scotland itu tidak menolak sebarang kemungkinan mengenai khabar tersebut.

"Saya terbuka untuk kembali tetapi mempunyai perkara lain yang perlu diselesaikan dan akan kembali bekerja tidak lama lagi.

"Jika tawaran datang kepada saya, saya memang berminat tetapi ada pasukan lain yang turut cuba mendapatkan khidmat saya.

"Billy Kenwright (pengerusi Everton) adalah seorang pengerusi terbaik dan sesiapa sahaja akan gembira untuk bekerja dengannya. Saya bersama Everton selama 11 tahun dan sayangkan kelab itu," katanya.

Kadangkala, kembali semula ke kelab lama bukan satu jalan yang terbaik tetapi Jose Mourinho kembali ke Chelsea dan menjuarai liga dan kini Jupp Heynckes kembali menguruskan Bayern Munich.

"Saya kini menjadi seorang pengurus yang lebih baik. Dalam bola sepak, anda perlu mengharungi kesusahan," katanya lagi.

Antara nama lain yang dikaitkan untuk mengendalikan Toffees adalah pengurus Watford, Marco Silva, selepas menarik perhatian dengan prestasi pasukannya, musim ini.

"Tiada siapa yang menghubungi saya dan saya kekal fokus untuk perlawanan seterusnya," ujar Silva menjelang pertemuan Watford dan Everton, malam ini.

"Kita harus menghormati pasukan, lawan dan fokus utama adalah mempersiapkan semua pemain untuk perlawanan pada malam ini," katanya.