Moutinho sasar kelayakan Eropah bersama Wolves

Oleh Penulis Jemputan 18 Oktober 2018 147
Moutinho sasar kelayakan Eropah bersama Wolves
Tonggak tengah Wolverhampton Wanderers, Joao Moutinho, bertekad membantu pasukannya meraih slot kelayakan Eropah selepas melalui permulaan baik dalam saingan Liga Perdana Inggeris, musim ini.

Pemain berpengalaman Portugal itu menyertai Wolves daripada Monaco, Julai lalu, dan memberikan impak besar kepada pasukan yang baru dinaikkan daripada Liga Kejuaraan itu.

Dia mendedahkan dirinya mula menikmati keinginan besar di Molineux dan yakin kecemerlangan mampu diteruskan pasukannya di bawah kendalian Nuno Espirito Santo.

"Wolves adalah satu projek bercita-cita besar dan saya mahukannya," kata Moutinho selepas Wolves mengutip 15 mata hasil daripada lapan aksi pertama.

"Pihak kelab serta barisan staf mahu mencapai satu tahap lebih tinggi dan saya hadir untuk membantunya.

"Sukar dipercayai apa yang diraih susulan kecemerlangan yang dipamerkan pasukan tahun lalu dan saya rasa bersama barisan pemain baru, ia mampu membantu Wolves mencapai lebih banyak kejayaan.

"Apa yang paling penting dalam pasukan adalah setiap pemain memberikan kudrat 100 peratus dan ia bagus buat kami dalam semua keputusan. Kami berada di kedudukan ketujuh dan hanya dibezakan dengan tiga mata untuk slot Eropah tetapi kami juga sedar pasukan lain boleh mengejar.

"Kami harus terus mempamerkan persembahan bagus kerana apa yang sangat penting, kami harus berfikir bahawa kami mampu kekal baik tetapi perlu terus bekerja dan meningkat kerana aksi seterusnya sangat sukar," tambahnya.

Wolves bakal melayan kunjungan Watford, Sabtu ini,dan The Hornets pasti akan cuba memintas mereka menerusi kemenangan tetapi Santo tentunya berada di tahap terbaik susulan dinobatkan selaku Pengurus Terbaik Bulanan Liga Perdana Inggeris bulan lalu dan menerima sokongan penuh daripada Moutinho.

"Saya mengenalinya dan dia seorang pengurus yang bagus. Apa yang dilakukan bersama kelab lain adalah sesuatu yang hebat," tambah Moutinho.

"Banyak perkara daripada perwatakannya dan dia menyerahkan hampir seluruh dirinya untuk pemain-pemain. Saya rasa kami melakukan 100 peratus apa yang diinginkan Santo di atas padang. Sebab itu kami bermula dengan baik.

"Caranya sangat bagus. Dia mahu bermain, memegang bola tetapi bertahan sebagai satu pasukan. Kami boleh mempamerkan permainan individu tetapi dalam corak berpasukan dan ia menjadi perkara terpenting buat kami.

"Bermain sebagai satu pasukan, lakukan segala perkara demi satu sama lain, tidak kira di dalam atau luar padang dan keputusan akan hadir."

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen