Mourinho: United perlu berbelanja untuk barisi skuad elit UCL

Oleh Penulis Jemputan 24 Oktober 2018 1372
Mourinho: United perlu berbelanja untuk barisi skuad elit UCL
Jose Mourinho memberi isyarat bahawa beliau percaya Manchester United perlu memperuntukkan pelaburan besar dalam usaha menyertai semula barisan elit Eropah selepas mereka ditewaskan oleh Juventus dalam Liga Juara-Juara (UCL), awal pagi tadi. 

Jaringan Paulo Dybala dalam babak pertama sudah memadai untuk menjamin kemenangan ketiga Juve dalam Kumpulan H untuk meraih kelebihan lima mata dengan pesaing terdekat, United.

Keputusan itu tidak mencerminkan dominasi Juve di Old Trafford, namun ketangkasan David de Gea sempat menafikan peluang Cristiano Ronaldo.

Sementara itu, percubaan bekas pemain tengah Juve, Paul Pogba, terkena tiang tatkala United buntu untuk menembusi kubu juara Serie A itu sambil Mourinho memuji prestasi Giorgio Chiellini dan Leonardo Bonucci.

"Juventus merupakan juara selama tujuh tahun, saya fikir tujuh tahun berturut-turut. Mereka muncul dua kali dalam aksi final UCL dalam tempoh empat atau lima tahun terakhir tetapi masih tidak berpuas hati dengan apa yang mereka miliki, mereka mahukan lebih banyak lagi," kata Mourinho dalam sidang media sejurus perlawanan tamat. 

"Mereka memiliki (Gonzalo) Higuain, (Mario) Mandzukic dan Dybala tetapi mereka mengimpikan kejayaan lebih besar, jadi mereka pancing Ronaldo. Mereka mempunyai (Andrea) Barzagli, Chiellini, (Daniele) Rugani. Mereka mendapatkan pemain terbaik di dunia.

"Mereka sebuah pasukan yang cukup besar. Kelab besar menerusi pencapaian hebat yang lalu, namun berkeinginan tinggi untuk mempunyai masa depan yang cemerlang dan setiap usaha mereka adalah menjurus kepada kemenangan. Saya bukan hanya mengatakan UCL, saya bercakap mengenai tiga kejuaraan, itulah yang mereka mahukan.

"Biasanya mereka hanya menang di peringkat domestik tetapi ketika ini, mereka mahukan tiga gelaran. Malangnya, bekas kelab saya (Inter) telah melakukannya, namun saya fikir Juve sudah sangat dekat."

Menjawab soalan lain tentang kemajuan United, Mourinho menambah: "Untuk pergi ke peringkat Juventus? Ke tahap seperti Barcelona, Real Madrid? Bagaimana anda mencapai tahap itu?

"Ya (menerusi pemain terbaik). Ia bukan mudah kerana ramai pemain ini menjadi milik pasukan utama. Oleh itu, kami perlu teruskan dengan apa yang kami ada, cuba memperbaiki apa yang kami miliki.

"Apabila saya memuji aksi luar biasa Chiellini dan Bonucci, saya juga perlu mengatakan bahawa Chris (Smalling) dan Victor (Lindelof) turut mempamerkan aksi yang sangat positif.

"Ini adalah kali pertama buat Victor memainkan pendekatan seperti itu, Victor mempamerkan permainan positif, begitu juga Luke Shaw.

"Perlawanan ini merupakan pengalaman yang sangat baik untuk beberapa pemain saya seperti (Marcus) Rashford, (Anthony) Martial, (Romelu) Lukaku, saya fikir ini musim kedua mereka bermain dalam UCL. 

"Jadi, kami akan terus bekerja keras, kami akan terus cuba memperbaiki prestasi tetapi kualiti tetap kualiti. 

"Sekali lagi saya ulangi, kualiti bola sepak ada di mana-mana sahaja.

"Apabila saya mengatakan kualiti, saya tidak hanya mengatakan mengenai pemain kreatif atau hanya pemain menarik seperti Chiellini dan Bonucci, namun saya sangat gembira dengan apa yang anak buah saya lakukan. "

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen