Jose Mourinho berpendapat kedudukan terbaik yang boleh diraih Manchester United adalah tempat keempat selepas pasukan bimbingannya itu tewas 3-1 di tangan Liverpool, awal pagi tadi.

Dua gol daripada pemain gantian, Xherdan Shaqiri, meranapkan cabaran United di Anfield walaupun Jesse Lingard memadamkan gol pembukaan Sadio Mane.

United kini berada di tangga keenam, 19 mata dibezakan dengan Liverpool di puncak liga, dan pengendali dari Portugal itu kini hanya mensasarkan slot untuk ke Liga Juara-Juara Eropah.

Ditanya sama ada dia mampu memperbaiki situasi United, Mourinho memberitahu Sky Sports: "Apa maksud awak dengan baiki? Memenangi liga? Saya tidak boleh perbaikinya.

"Kami masih boleh menamatkan musim di tangga keempat. Ia tidak mudah. Sudah pasti kami akan menamatkan musim dalam kelompok enam terbaik, sama seperti pasukan elit lain tetapi kedudukan terbaik yang mampu kami raih adalah keempat.

"Kini, kami perlu melihat ke tempat kelima dan kemudian keempat."

Dalam masa sama, Mourinho turut mempertahankan taktikal bertahannya awal pagi tadi sambil menegaskan United tidak mampu bersaing dengan skuad bimbingan Jurgen Klopp itu.

"Liverpool merupakan pasukan lebih baik, kami tidak dapat menyamai kepantasan, fizikal serta kualiti teknikal yang mereka pamerkan. Mereka pasukan lebih baik berbanding kami," tambah Mourinho.

"Kami masih bersaing sehingga lawan menyumbat gol ketiga. Dalam aksi sebegitu, kami mampu meraih keputusan seri kerana mencipta peluang yang banyak sama seperti mereka dalam 10 atau 15 minit terakhir."