Mauricio Pochettino sentiasa dialu-alukan di Tottenham Hotspur, kata penggantinya, Jose Mourinho.

Selasa lalu, Pochettino dipecat selepas lima tahun enam bulan berkhidmat buat Spurs sambil finalis Liga Juara-Juara Eropah musim lalu itu pantas melantik bekas pengendali Chelsea, Real Madrid dan Manchester United, Mourinho, selaku ketua jurulatih.

Semalam, pengurus berusia 56 tahun itu hadir dalam sidang media pertamanya selaku pengendali Spurs dan mula bercakap tentang Pochettino, yang tetap disanjung penyokong kelab itu walaupun mengharungi permulaan suram musim ini sehingga meletakkan mereka di tangga ke-14 Liga Perdana Inggeris.

"Saya tersenyum selama dua hari tetapi pertamanya, saya lakukannya dengan sedih kerana perlu bercakap mengenai Pochettino," katanya.

"Saya harus ucapkan tahniah kepadanya atas hasil kerja hebat yang dilakukan. Saya berkongsi dengan anda apa yang kami kongsikan.

"Kelab ini sentiasa menjadi rumahnya. Padang latihan ini miliknya. Dia sentiasa dialu-alukan di sini.

"Esok adalah hari baru. Dia akan menemui kebahagiaan. Dia akan berikan segalanya, sama seperti sewaktu di sini. Dia akan pergi dengann kesedihan selepas kerja hebat yang dilakukan. Itu yang dirasakan di kelab."

Minggu yang mendebarkan pantas dihadapi dalam aksi pertamanya bersama Spurs apabila berkunjung ke West Ham United malam esok.

Dia menegaskan kini bersedia dengan cabaran walaupun tidak berada dalam dunia pengurusan selama hampir setahun selepas dipecat Manchester United, Disember lalu.

"Saya dapat rasakan bakal menemui sebuah kelab ketika pertengahan musim," katanya.

"Saya tahu akan berada dalam situasi di mana saya hanya memiliki satu atau dua hari sebelum perlawanan pertama.

"Saya tidak boleh datang ke sini dan fikir tentang diri sendiri. Ia tentang pemain dan kestabilan.

"Saya fikirkan tentangnya selama beberapa bulan kerana mungkin akan mendapat kelab baru ketika pertengahan musim serta dua hari tempoh persediaan sebelum perlawanan.

"Kami mempunyai cara sendiri tetapi mereka di bawah bimbingan pengurus dan staf kejurulatihan yang bagus di sini."

Pemain termahal kelab, Tanguy Ndombele, dan bek tengah, Jan Vertonghen, berdepan ujian kecergasan selepas mengadu tentang masalah di bahagian paha sambil Mourinho akan mengharungi aksi pertama tanpa Erik Lamela serta dua penjaga gol, Michel Vorm dan Hugo Lloris, di Stadium London.