Jose Mourinho menegaskan tiada "cerita" di sebalik keputusannya mengeluarkan Dele Alli dalam separuh masa kedua ketika Tottenham tumbang kepada Everton.

Spurs memulakan kempen Liga Perdana Inggeris (EPL) dengan langkah kiri Ahad lalu selepas tandukan Dominic Calvert-Lewin menyumbang kepada gol tunggal perlawanan untuk kekalahan di tempat sendiri.

Alli -- yang percubaannya dipatahkan rakan sepasukan dalam kem England, Jordan Pickford, dalam babak pertama -- digantikan oleh Moussa Sissoko dalam baki aksi 45 minit.

Namun, Mourinho menyatakan pendiriannya berhubung keputusan itu yang didorong untuk meningkatkan permainan mereka, bukannya disebabkan sebarang masalah hubungan.

"Ia bukan kali pertama berlaku dalam karier saya, Rombakan dalam separuh masa pertama dilakukan dan ia bukan juga yang terakhir," katanya dalam sidang akhbar malam tadi.

"Kali terakhir ia berlaku ialah ke atas Eric Dier ketika berdepan Olympiacos apabila saya terpaksa mengeluarkannya selepas 25 atau 30 minit permainan. Apabila saya melakukan tindakan sebegini, saya hanya akan melakukannya demi pasukan, bukan kerana untuk menghukum pemain.

"Dalam beberapa kes, pilihan itu terbukti benar dan ada juga yang silap. Dalam kes ini, ia tidak berhasil. Pasukan saya gagal mempamerkan permainan yang lebih baik dalam babak kedua berbanding yang pertama.

"Itu tugas saya untuk membuat keputusan demi mencuba yang terbaik buat pasukan apabila saya tidak berpuas hati dengan persembahan. Tiada kisah lain di sebaliknya.

"Dele adalah lelaki yang sangat sopan. Sangat tenang. Saya rasa dia lebih gemar berdiam diri ketika memikirkan banyak hal. Oleh itu, saya fikir cara dia bertindak balas adalah seperti Dele.

"Dia seorang yang pendiam, sedih tetapi selepas perlawanan berakhir, dia sama seperti pemain-pemain lain juga. Tetapi sekali lagi, saya ulangi, dia adalah pemuda yang baik. Sangat, sangat sopan. Anak yang baik, budak yang sangat baik."


Dier menjadi subjek pertukaran awal dalam kendalian pertama pengurus Portugis tersebut di laman sendiri, iaitu menentang Olympiacos tahun lalu, sehubungan itu pemain berusia 26 tahun berkenaan menolak cadangan bahawa situasi itu akan memberi kesan negatif terhadap Alli.

"Dia menukarkan saya ketika permainan baru berusia 30 minit, itukan lebih teruk!" Dier memberitahu wartawan.

"Saya fikir Dele baik-baik saja. Kami sudah dewasa.

"Bola sepak bukanlah dunia yang adil, ia semua mengenai keputusan dan persembahan. Dele bukanlah yang pertama ditukarkan sebaik babak kedua bermula. Ia boleh berlaku.

"Sekiranya anda ingin menjadi sebuah kelab besar atau pemain tersohor, ia bergantung bagaimana anda bertindak balas dan melangkah ke depan. Mengenali Dele dan kekuatan mentalnya, dia pasti akan bekerja lebih keras dan berusaha untuk terus maju."

Semalam, laporan mengaitkan Alli mungkin dijadikan umpan untuk membawa pulang Gareth Bale daripada Real Madrid.

Rundingan di antara kedua-dua kelab sedang berlangsung di sebalik ejen Bale, Jonathan Barnett, enggan mengesahkan kepada Stats Perform News sama ada kesepakatan semakin hampir.