Jose Mourinho membidas persembahan Manchester United sewaktu tewas 2-0 di tangan West Ham United dan berkata dia tidak melihat peningkatan daripada skuad kendalian Ole Gunnar Solskjaer itu berbanding musim lalu.

Jaringan dalam setiap babak oleh Andriy Yarmolenko dan Aaron Cresswell menghukum United dengan kekalahan kedua musim ini daripada enam perlawanan dan persembahan di Stadium London itu jelas mengundang kritikan Mourinho.

Sambil mengakui pasukan yang dibimbingnya pada awal musim 2018-19 sebelum Solskjaer menggantikannya sebagai skuad yang buruk, Mourinho tidak melihat mereka lebih bagus berbanding pasukan yang menduduki tangga keenam liga musim lalu walaupun ditambah dengan kehadiran Aaron Wan-Bissaka, Harry Maguire dan Daniel James ketika musim panas lalu.

Ditanya oleh Sky Sports mengenai elemen positif yang dilihat daripada persembahan United, Mourinho berkata: "Tidak, saya tidak menemuinya.

"Kami begitu buruk pada musim lalu tetapi saya tidak melihat peningkatan musim ini walaupun dengan tiga pemain baru atau pemain dengan impak positif. Saya sukakan tiga pemain itu dan saya fikir mereka membawa kualiti yang bagus dalam pasukan.

"Namun, sebagai satu pasukan, saya tidak sukakannya. Saya tidak terkejut dengan keputusan dan tidak fikir Solskjaer mampu meraih elemen positif daripada perlawanan tersebut."

Bekas pemain tengah United, Roy Keane, turut memberikan pendapat sama, dengan menyalahkan kekurangan ketua menjadi salah satu masalah United.

Solskjaer mengakhiri perlawanan dengan Jesse Lingard bertindak selaku penyerang tunggal selepas Marcus Rashford dikeluarkan akibat masalah di bahagian paha dan ketika kelab berdepan krisis kecederaan, Keane menjelaskan cabaran yang dihadapi pengurus itu.

"Saya tidak tahu ingin bermula dari mana," katanya.

"Saya tahu kami tidak berada di landasan tepat tetapi saya terkejut melihat tahap kami.

"Saya tahu anda boleh tewas dalam bola sepak tetapi United menunjukkan kualiti rendah, kurang keinginan, tiada ketua dan tidak cukup perwatakan.

"Perjalanan masih jauh untuk United. Ngeri melihat mereka jatuh."