Pengendali Manchester United, Jose Mourinho, menegaskan dirinya tidak khuatir walaupun kini pasukannya ketinggalan lapan mata di belakang pendahulu, Manchester City, selepas tewas 0-1 di tangan Chelsea di Stamford Bridge.

United tersungkur di tempat lawan selepas Alvaro Morata menanduk masuk gol kemenangan pada minit ke-55 dalam perlawanan yang menyaksikan dominasi penuh skuad The Blues.

Skuad bimbingan Mourinho sekadar melakukan dua percubaan tepat sambil penyerang utama, Romelu Lukaku, dilihat bergelut untuk menghasilkan jaringan.

Bagi Mourinho, perbezaan mata tidak menjadi perkara besar kerana mereka masih lagi berada di tangga kedua liga.

"Kami berada di tangga kedua, bukan kelima, keenam atau tujuh," kata Mourinho kepada Sky Sports.

"Terdapat 18 pasukan lain yang berada dalam situasi lebih sukar. Lapan mata adalah lapan mata.

"Kami melalui situasi sukar dalam perlawanan penting tanpa pemain-pemain utama. Jelas sekali pilihan kami terhad," katanya.

Dalam masa sama, pengendali dari Portugal itu juga berasakan pasukannya berhak meraih satu mata dalam aksi di London itu.

"Kedua-dua pasukan mampu menang. Pasukan yang terlebih dahulu mencipta jaringan akan lebih menguasai pertahanan dan memenangi perlawanan.

"Mereka menjaringkan gol dalam satu-satunya kemuncak aksi mereka di dalam perlawanan.

"Amat mengecewakan apabila melepaskan gol seperti itu. Kami kehilangan arah selepas dibolosi tetapi kembali menemui rentak dalam 20 minit terakhir. Malangnya, kami gagal mengeksploitasi peluang untuk menyamakan kedudukan," ujarnya.