Jose Mourinho menegaskan dia tidak cemburu dengan skuad yang dimiliki Liverpool dan Manchester City kerana tugasnya bersama Tottenham Hotspur berbeza.

City merupakan juara Liga Perdana Inggeris (EPL) bagi dua musim berturut-turut manakala Liverpool sedang mendahulu liga dengan kelebihan 14 mata dan satu perlawanan dalam tangan.

Mourinho pula dilantik selaku pengurus Spurs, November lalu, dan pasukannya kini sedang bergelut di tangga kelapan liga.

Namun, pakar taktikal berbangsa Portugis itu berkata dia tiada rungutan mengenai pasukannya dan mereka tidak boleh dibanding-bandingkan dengan City dan Liverpool.

"Ayuhlah, ia memang seadanya. Kami tidak boleh memiliki skuad sama seperti pasukan lain. Mereka bukan kami.

"Saya menyaksikan Man City (menentang Aston Villa) dan saya melihat di bangku pemain mereka -- (Raheem) Sterling, Bernardo Silva, (Ilkay) Gundogan, (Nikolas) Otamendi. Anda tahu perkara itu?

"Liverpool, anda dapat lihat pasukan itu, anda lihat di bangku pemain mereka. Dan mereka masih ada (Joel) Matip, (Dejan) Lovren, (Naby) Keita dan Fabinho yang cedera.

"Saya tidak cemburu. Saya memiliki pekerjaan yang hebat tetapi tugasnya berbeza.

"Ini kelab yang bebeza," katanya.

Mourinho menjelaskan tugasnya di Spurs merupakan yang paling sukar sejak dia mengendalikan Porto pada awal 2002.

Bekas pengurus Real Madrid, Inter Milan, Chelsea dan Manchester United itu -- yang membawa Porto menjuarai Liga Juara-Juara Eropah pada 2004 -- berkata pada ketika itu, dia terpaksa melakukan rombakan besar dalam pasukan gergasi Portugis berkenaan.

"Ia merupakan kali kedua saya mendapat pasukan pada pertengahan musim, hanya kali kedua.

"Pada kali pertama, ia juga tidak mudah kerana ia merupakan penamat pasukan itu, penamat kepada satu era. Ia era tanpa kejuaraan.

"Porto tidak memenangi apa-apa tetapi ia merupakan pengakhiran... saya tidak mahu berkata ia adalah generasi tetapi ia merupakan pengakhiran pasukan itu pada penghujung musim.

"12 pemain keluar dan 12 pemain masuk, memulakan segala-galanya daripada awal.

"Melupakan semua perkara baik yang berlaku pada waktu lalu, melupakan segala perkara buruk yang berlaku pada waktu lalu dan ayuh membinanya daripada awal.

"Itulah pengalaman saya apabila mengambil alih Porto pada pertengahan musim," tambahnya.

Tottenham akan berdepan Middlesbrough dalam perlawanan ulangan pusingan ketiga Piala FA awal pagi esok.



Editor: Muzaffar Musa