Harry Kane berkemungkinan besar tidak akan menyertai Manchester United kerana Jose Mourinho tidak akan membenarkan Tottenham Hotspur menjual penyerang itu kepada The Red Devils, kata Rio Ferdinand.

Spekulasi hangat selepas kapten England, Kane, dilaporkan bakal meninggalkan Spurs jika kelab dari London itu tidak memenuhi impiannya memenangi trofi utama.

Spurs dikatakan mahukan bayaran sekurang-kurangnya GBP150 juta (RM774 juta) untuk khidmat penggempur itu sambil United dilihat sebagai destinasinya.

Namun, Ferdinand meragui bekas pengendali United, Mourinho, yang kini menguruskan Spurs akan membiarkan perpindahan itu berlaku.

"Adakah saya akan mendapatkan Kane sekarang? Sudah tentu," kata bekas bek tengah United itu.

"Jika dia cergas dan sedia beraksi, anda akan membawa Kane ke United, 100 peratus.

"Pemain hebat yang menjanjikan gol. Dalam Liga Perdana Inggeris, jaminan jaringan untuk anda.

"Dia memang meledakkan gol tetapi saya tidak melihat Spurs akan melepaskan Kane ke United.


"Ditambah dengan Mourinho di sana, saya tidak fikir dia akan membiarkan Kane menyertai United."

United juga dilaporkan sedang bersedia untuk perpindahan mega membawa masuk rakan senegara Kane, Jadon Sancho.

Bekas pemain Manchester City itu mencipta sensasi bersama Borussia Dortmund dan Ferdinand gembira untuk melihat penggempur itu beraksi di Old Trafford.

"Saya akan semestinya membawa Sancho ke United. Adakah mereka akan mendapatkannya, tiada siapa tahu," tambahnya.

"Dia seoran pemain hebat, berpotensi tinggi, warga England dan memukau. Saya akan mendapatkan Sancho sekarang."