Jose Mourinho membidas jadual perlawanan di antara Tottenham dan Aston Villa malam esok dengan melabelnya sebagai tidak peka.

Spurs akan menjadi tuan rumah kepada RB Leipzig dalam aksi pusingan 16 Liga Juara-Juara (UCL), hanya tiga hari selepas bertandang ke Villa Park.

Mourinho mengkritik jadual itu dan mengatakan ia tidak adil buat Tottenham yang kini menghuni tangga keenam dalam Liga Perdana Inggeris (EPL).
"Saya akan memberi anda satu contoh yang sangat mudah. Mengapa Leicester menentang Wolves awal pagi tadi? Adakah mereka mempunyai perlawanan UCL pada minggu depan? Kedua-dua bukan," katanya.

"Kami adalah wakil England yang akan beraksi dalam UCL pada Khamis ini. Mengapa kami tidak bermain pada Jumaat atau hari ini? Kami perlu beraksi esok, saya tidak fikir ia adalah satu perkara yang normal."

Mourinho berkata keputusan itu boleh menjejaskan usaha Tottenham untuk menjuarai saingan Eropah berkenaan.

"Mereka boleh menjelaskan kepada saya bahawa perlawanan yang melibatkan kami telah dipilih untuk disiarkan di televisyen pada jam 12 tengah hari esok dan saya mahu bertanya kepada anda, apakah dalam lima perlawanan EPL yang lain hujung minggu ini, tidak ada satu pun yang boleh dilangsung pada jam 2.30 petang? Ia semudah itu," tambahnya.

"Itulah satu-satunya perkara yang saya ingin bangkitkan -- mereka langsung tidak mengambil berat.

"Mereka hanya memilih apa yang mereka mahukan dan tidak fikir bagaimana mereka boleh menjejaskan kelab-kelab Inggeris.

"Dalam soal ini, kami akan berdepan kecederaan kerana kita akan beraksi esok sedangkan kami boleh beraksi pada hari ini atau awal pagi tadi."