Pengurus Tottenham Hotspur, Jose Mourinho, mendedahkan dia tidak akan menukarkan Giovani Lo Celso dengan bintang Manchester United, Bruno Fernandes, atau mana-mana pemain tengah.

Tahun lalu, Fernandes mendedahkan dia bersetuju untuk ke Spurs tetapi kelab utara London itu tidak mahu memenuhi tuntutan Sporting Lisbon, sebaliknya mendapatkan khidmat Lo Celso.

Pemain Portugal itu akhirnya berhijrah ke seterus Spurs dalam Liga Perdana Inggeris, United, pada Januari lalu dan terus menyinar memenuhi harapan hasil perpindahan berjumlah GBP67 juta (RM358 juta).

Dia terlibat mencipta lapan gol dalam lapan aksi liga sambil Lo Celso -- yang berpindah ke Spurs secara tetap pada Januari lalu selepas dipinjam daripada Real Betis sebelum itu -- masih gagal mencatat sebarang jaringan atau bantuan gol.

Mourinho berkata dia tidak kisah terlepas khidmat Fernanes sewaktu Pochettino mengendalikan Spurs dan dia menyanjung tinggi kemampuan Lo Celso.

"Saya tidak tahu tentang sebarang perjanjian tetapi jika ia benar dan kalau Lo Celso adalah pemain yang akhirnya ke Spurs, saya tidak akan menggantikannya dengan pemain lain," ujar pengendali dari Portugal itu.

"Saya tidak akan menukarkannya dengan mana-mana pemain termasuk Fernandes."

Lo Celso bergelut untuk mendapatkan tempoh permainan apabila sewaktu di bawah bimbingan Pochettino tetapi sebaik sahaja kehadiran Mourinho, dia meraih 11 penampilan dalam kesebelasan utama daripada 15 perlawanan bagi semua kejohanan.

Mourinho teruja dengan sikap positif ditampilkan pemain Argentina itu dan percaya masih ada ruang untuk pemain itu menyinar.

"Apabila saya tiba, saya melakukan perubahan dan dia memberikan apa yang saya suka, sentiasa cuba membuktikan kemampuannya," tambah pengurus itu.

"Tiada rungutan, tangisan, keluhan atau ahli keluarga yang memberikan kenyataan kepada wartawan atau media sosial.

"Ia hanya melibatkan saya dan dia dan dia membuktikan kemampuannya.

"Segalanya baik termasuk cara dia berusaha setiap hari, datang ke setiap perlawanan dan menghadapi aksi lain."