WOLVES 1 TOTTENHAM 2

Jose Mourinho berasakan semangat berpasukan Tottenham menjadi kunci kepada peningkatan prestasi mereka.

Jaringan Jan Vertonghen pada lewat permainan memastikan mereka menang 2-1 di Wolves, tengah malam tadi, untuk melonjakkan Spurs kepada tiga mata di belakang pasukan di tangga keempat Liga Perdana Inggeris (EPL), Chelsea.

Anak buah Mourinho itu memungut 12 daripada 15 mata sejak dia mengambil alih tugasan berkenaan daripada Mauricio Pochettino, termasuk membawa Tottenham ke pusingan kalah mati Liga Juara-Juara (UCL).

Wolves meratapi rekod tanpa kalah dalam 11 perlawanan liga lebur manakala Mourinho gembira dengan perpaduan baru yang ditemuinya itu.

"Adakalanya bola sepak adalah pelik," kata Mourinho dalam sidang akhbar.

"Ini mungkin permainan yang sama tetapi tanpa gol, ia membolehkan Wolves untuk berada satu mata di depan kami dan kami tidak akan begitu gembira. Tetapi pasukan yang menang bermula dengan mentaliti seperti itu.

"Konsep sesebuah pasukan itu adalah bersandarkan pasukan yang mampu memenangi perlawanan, ini adalah contoh perlawanan terbaik yang hanya sebuah pasukan sahaja yang akan menang. Anda harus bersatu.

"Ia adalah salah satu kemenangan di mana kualiti sahaja tidak memadai. Jika anda bukan sebuah pasukan, pasukan yang dalam erti kata sebenarnya ialah 'bersatu', ia mustahil.

"Mereka (Wolves) sangat bagus, saya sudah katakan sebelum perlawanan dan saya berkata demikian selepas perlawanan. Mereka adalah pasukan yang sangat bagus dan sangat sukar untuk dihadapi."

Paulo Gazzaniga menyelamatkan satu percubaan berbahaya di kedudukan 1-1 apabila menafikan tandukan Romain Saiss sehingga mendorong pujian daripada Mourinho.

"Tangan magis. Sekali lagi, ia penting dalam keadaan itu," kata Mourinho mengenai penjaga gol kedua selepas Hugo Lloris itu.

"Bapa saya bermain di stadium ini, menentang Wolves dalam Piala UEFA sebagai penjaga gawang. Dia sering memberitahu saya, penjaga gol pasukan besar perlu berbeza dengan yang lain kerana penjaga gol pasukan besar tidak perlu mematahkan 10 peluang.

"Anda mempunyai satu untuk dihadapi tetapi apabila ia datang, tangan ajaib harus bersedia dan Paulo melakukannya untuk kami."

Wolves jatuh ke tangga kelapan selepas kekalahan pertama mereka itu dalam mana-mana kejohanan sejak Oktober lalu tetapi Nuno Espirito Santo tetap berbangga dengan pasukannya.

"Beberapa kesilapan (terjadi) tetapi saya sangat berbangga dengan cara kami melakukannya. Kami akan teruskan perjuangan," katanya kepada pemberita.

"Baiklah, kami tidak meraih keputusan seperti yang dihajati tetapi kami melakukan apa yang kami mahu lakukan. Kami akan teruskannya untuk perlawanan berikutnya."