Jose Mourinho percaya Tottenham perlu bersikap relaistik apabila menentukan apa yang boleh mereka lakukan dalam jendela perpindahan.

Spurs kehilangan slot untuk ke Liga Juara-Juara Eropah musim depan dan perlu sekurang-kurangnya menamatkan Liga Perdana Inggeris (EPL) di tempat keenam untuk layak ke Liga Europa.

Tottenham ketinggalan satu mata di belakang pasukan di tangga keenam, Wolves, berbaki dua perlawanan tetapi tidak tewas dalam empat perlawanan terakhir termasuk kemenangan ke atas Arsenal, yang boleh menafikan hajar Spurs itu, dalam 'derby' London.

Ditanya mengenai cabaran menarik perhatian pemain untuk menyertai kelab itu tanpa beraksi dalam Liga Juara-Juara, Mourinho berkata: "Ia mudah untuk sesetengah kelab, anda melanggar undang-undang, berbelanja besar dan mendapatkan pemain.

"Buat sesetengah lagi, ia amat sukar. Anda mengikut peraturan. Untuk kelab seperti ini, situasinya lebih rumit.

"Saya tahu bagaimana keadaan Tottenham sebelum saya menandatangani kontrak.

"Saya mengadakan pertemuan dengan beberapa orang di kelab ini.

"Saya memikirkannya ketika kami ketinggalan 10 hingga 15 mata daripada kedudukan ke Liga Juara-Juara, jadi tiada kejutan buat saya.

"Kami perlu realistik. Saya tahu di mana pemain terbaik di dunia.

"Jika kita duduk sambil minum kopi, saya boleh menyenarai pendek pemain terbaik di dunia mengikut posisi.

"Perkara paling penting adalah menjadi realistik, menganalisis peluang dalam pasaran pemain -- kelab yang mahu menjual, pemain dalam tahun terakhir kontrak mereka. Kelab-kelab yang mahu berurus niaga dengan kreatif.

"Saya tahu apa yang kami perlukan dan apa yang kami mahukan dan saya tahu bagaimana untuk menjadi realistik.

"Kelab ini juga sudah lebih mengenali saya, saya fikir hanya (pengerusi) Encik (Daniel) Levy boleh memperkatakannya tetapi saya fikir amat mudah untuk berurusan dengan saya.

"Saya terbuka dan pragmatik. Saya suka membuat aporan saya kepada kelab ni, projek masa depan, jadi bagi saya, segala-galanya perlu bertulis. Agak mudah untuk bekerja dengan saya.

"Dan apabila saya hormat dan realisitk, saya fikir kami baik-baik sahaja kerana kami memahami satu sama lain," katanya.