Son Heung-min dan Harry Kane sedang melakukan "perkara istimewa" buat Tottenham musim ini, kata Jose Mourinho selepas pasukannya menewaskan Leeds United 3-0 dalam perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) malam tadi.

Tottenham menamatkan kemarau empat perlawanan tanpa kemenangan dalam EPL dengan menewaskan Leeds sambil Son mencipta sejarah baru dalam proses itu.

Selepas jaringan penalti Kane meletakkan Spurs di depan, Son menggandakan kelebihan itu menerusi golnya yang ke-100 bersama kelab berkenaan dan penyerang England itu pula muncul pencetus kepada jaringan Son.

Ia merupakan kali ke-13 gandingan itu berkerjasama menghasilkan gol sepanjang musim 2020-21 dan ia juga merupakan rekod tertinggi yang dilakukan dalam satu musim.

Toby Alderweireld kemudian menyempurnakan bola daripada sepakan penjuru Son untuk menjadikan kedudukan 3-0 dan Spurs kini hanya ketinggalan empat mata di belakang dua pasukan teratas, Liverpool dan Manchester United.

Bercakap kepada BT Sport, Mourinho berkata: "Sudah pasti, persefahaman mereka amat bagus dan ketika menentang Leeds, amat penting untuk memiliki kemampuan dalam menyerang.

"Mereka rapat dengan setiap pemain, jadi jika anda tidak banyak bergerak, ia akan memberikan mereka tugas mudah. Gerakan yang dilakukan Harry dan Sonny di bahagian penyudah amat bersesuaian.

"Saya fikir dalam EPL, terdapat ramai pemain bagus di kelab yang anda tidak percaya mereka mempunyai pemain yang hebat.

"Tetapi saya perlu katakan yang Sonny dan Harry telah melakukan perkara yang istimewa musim ini," katanya.

Gandingan Son dan Kane telah menjaringkan 22 gol daripada 29 perlawanan EPL musim ini.