Jose Mourinho berkata dia menggemari Frank Lampard tetapi mahukan bekas anak buahnya itu kalah dalam kunjungan Chlesea ke laman Tottenham Hotspur yang akan menentukan perebutan tempat empat teratas awal pagi lusa.

Spurs kendalian Mourinho mengecilkan jurang dengan pasukan di tangga keempat, Chelsea, kepada tiga mata sejak pengurus berbangsa Portugis itu mengambil alih kedudukan Mauricio Pochettino bulan lalu.

Musim lalu, Derby County kendalian Lampard menyingkiran Manchester United dalam Piala Liga Inggeris (EFL) sebelum Mourinho dipecat di Old Trafford.

Perlawanan awal pagi Isnin ini merupakan kali pertama Mourinho dan Lampard akan bersemuka sebagai seteru selepas kedua-duanya melewati era gemilang di Chelsea.

Ditanya sama ada dia akan mempelawa pengurus Chelsea itu untuk menikmati minuman selepas tamat perlawanan atau tidak, Mourinho berkata kepada wartawan: "Saya tidak fikir begitu kerana di stadium kami, pejabat kami didirikan di bahagian dalam ibu pejabat kami.

"Sehingga hari ini, saya tidak pernah menjemput sebarang pengurus lain untuk ke sana dan saya tidak fikir akan melakukannya bersama Frank.

"Namun, saya mungkin memberikannya pelukan yang mesra sebelum dan selepas perlawanan, itu sudah pasti.

"Ia tidak bergantung kepada keputusan perlawanan itu dan siapa yang lebih gembira.

"Saya fikir perasaan di antara kami akan kekal selama-lamanya.

"Saya sentiasa berterima kasih kepadanya di atas sumbangannya kepada saya sewaktu bergelar pemain.

"Tiada apa yang akan berubah.

"Saya sukakannya, saya sentiasa menggemarinya, saya harap dia akan tewas Ahad ini (awal pagi lusa).

"Saya tewas kepada Frank musim lalu, saya tewas.

"Saya tidak mengalami lebih kegusaran (untuk bertemu bekas pemain saya) langsung," katanya.

Chelsea kehilangan rentak menjelang pertemuan London itu dengan tewas empat daripada tujuh perlawanan terakhir dalam kesemua kejohanan, namun Mourinho tidak berasakan bekas pasukannya itu sedang mengalami masalah.

"Ia kejatuhan yang mengekalkan mereka di tangga keempat Liga Perdana dan masih bersaing dalam Liga Juara-Juara Eropah.

"Mereka akan melalui perlawanan pusingan kalah mati (pusingan 16) yang hebat dengan Bayern Munich.

"Jika ia satu kejatuhan, ia bukanlah kejatuhan yang teruk. Mereka baik-baik sahaja," tambahnya.

Mourinho turut mengesahkan pembelian termahal kelab itu, Tanguy Ndombele, akan cergas untuk berdepan Chelsea selepas diketepikan kerana kecederaan paha.