Jose Mourinho hanya mengaibkan Manchester United, kata Paul Scholes, yang terkejut kerana kelab gergasi Liga Perdana Inggeris itu masih memihak kepada pengurus berkenaan.

Kedudukan Mourinho di United terus diletakkan di bawah perhatian susulan permulaan terburuk kelab itu dalam tempoh 29 tahun di samping ketegangan di antaranya dan Paul Pogba.

Bercakap kepada wartawan sebelum pertemuan Liga Juara-Juara di antara United dan Valencia di Old Trafford, awal pagi tadi, Scholes menghentam peri laku Mourinho.

“Saya fikir ia satu situasi yang buruk. Saya terkejut dia masih terselamat selepas Sabtu lalu (setelah United tewas 3-1 kepada West Ham). Ia seburuk itu daripada segi sikap dan prestasi,” Scholes memberitahu BT Sport.

“Dia tampil dalam sidang akhbar dengan berterusan menghentam pemain-pemainnya dan orang di atasnya kerana tidak mendapat apa yang dimahukannya.

“Saya fikir tutur katanya di luar kawalan dan dia hanya mengaibkan kelab,” katanya lagi.

United kini terperosok di tangga ke-10 liga, sembilan mata di belakang pendahulu, Manchester City dan Liverpool.

Sementara itu, Mourinho menyifatkan Scholes berhak memberikan pendapatnya sebagai “kebebasan bersuara”.

“Saya tidak tahu apa yang dikatakannya,” kata Mourinho. "Dia boleh berkata apa yang dia mahu. Saya tidak berminat.”

Apabila komen Scholes itu dimaklumkan kepadanya, pengurus berbangsa Portugis itu menjawab: “Kebebasan bersuara. Ini sebuah negara bebas, dia boleh berkata apa yang dia mahu.”

Sejurus berakhir perlawanan dengan Valencia itu, United menerima ejekan penyokong sendiri yang bersorak “serang, serang, serang” dalam separuh masa kedua.

“Kebebasan bersuara,” ulang Mourinho. “Terutama penyokong Manchester United. Saya hormati mereka 100 peratus.”