WEST HAM UNITED 2 TOTTENHAM HOTSPUR 3

Jose Mourinho meraih kemenangan dalam penampilan pertamanya selaku pengurus Tottenham Hotpsur apabila menewaskan seteru London, West Ham, 3-2 dalam perlawanan Liga Perdana Inggeris di Stadium London sebentar tadi.


Pengurus itu meletakkan Christian Eriksen di bangku simpanan dengan satu gol dan satu bantuan gol daripada Son Heung-min dalam babak pertama membolehkan Spurs menamatkan badi 12 perlawanan tanpa kemenangan di laman lawan walaupun pasukan tuan rumah, West Ham, cuba bangkit pada penghujung perlawanan.

Bintang Korea Selatan itu membuka jaringan pada minit ke-39 sebelum membantu jaringan Lucas Moura untuk memberikan kelebihan buat skuad kendalian Mourinho itu.

Harry Kane kemudian menambah jaringan ketiga untuk Spurs melonjak ke tangga keenam liga.

Michail Antonio dan Angelo Ogbonna menjaringkan gol sagu hati pada lewat permainan tetapi West Ham terus bergelut selepas mempamerkan permulaan cemerlang pada awal musim ini.

Skuad kendalian Manuel Pellegrini itu kini tewas enam daripada tujuh perlawanan terakhir dalam Liga Perdana.

Kane melakukan jaringan pada tiga minit pertama era Mourinho tetapi penyerang itu dikesan berada di posisi ofsaid ketika menerima hantaran Dele Alli.

Kesilapan Serge Aurier ketika perebutan bola di udara dan kelalaian Robert Snodgrass dalam kawasan penalti tidak dimanfaatkan Spurs sebelum Heung-min menamatkan kecemerlangan penjaga gol, Roberto Jimenez.

Roberto ditewaskan dua kali sebelum waktu rehat dengan hantaran Alli membolehkan Heung-min melepasi kawalan Issa Diop untuk melepaskan rembatan kaki kiri yang tepat ke jaring gol lawan.

Dia kemudian mencetuskan jaringan kedua menerusi gerakan baik dengan Alli di sebelah kiri sebelum penyerang itu melakukan hantaran rendah untuk disudahkan Lucas dari jarak dekat.

Lucas mensia-siakan peluang dengan sepakan yang tersasar pada permulaan babak kedua, namun kedudukan bertukar menjadi 3-0 tidak lama selepas itu apabila Aurier diberikan telalu banyak ruang di sebelah kanan untuk melakukan hantaran lintang yang ditanduk masuk Kane, yang melonjak ke tangga ketiga dalam senarai penjaring terbanyak sepanjang zaman Spurs.

Pemain gantian, Antonio, menghidupkan harapan penyokong tuan rumah menerusi penyudah kemasnya pada minit ke-73 bagi menafikan perlawanan tanpa bolos Mourinho, yang memasukkan Eriksen pada lewat permainan.

Dan selepas video bantuan pengadil (VAR) mengesan Declan Rice berada di kedudukan ofsaid, Ogbonna menewaskan penjaga gol, Paulo Gazzaniga, dalam waktu kecederaan, namun ia telah terlambat untuk menyelamatkan skuad The Hammers itu.