Jose Mourinho mendakwa Liverpool perlu dikritik, bukannya Manchester United, kerana pendekatan berhati-hati mereka membawa perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) yang sangat nanti-nantikan ini berakhir 0-0 di Anfield, awal pagi tadi.

United mempamerkan persembahan yang lazim daripada kendalian Mourinho, menunggu kesilapan lawan yang bermain baik, untuk mendapatkan hasil.

Liverpool, yang memenangi empat perlawanan berturut-turut EPL, dikecewakan oleh United sejak wisel pembukaan, walaupun pasukan tuan rumah itu dua kali dinafikan oleh kecemerlangan penjaga gol, David de Gea, pada separuh masa kedua.

United menamatkan perlawanan dengan hanya 35 peratus penguasaan -- paling rendah sejak statistik Opta mula merakam data pada 2003-04 -- tetapi Mourinho mempertikaikan statistik selepas perlawanan itu kerana dia beralih tumpuan kepada Liverpool.

"Saya baru sahaja diberitahu ia bukan 35 peratus. Ia adalah 42 peratus. Ia dari orang kami," kata Mourinho kepada pemberita dalam sidang media.

Terdahulu, jurulatih dari Portugal itu menegaskan: "Musim lalu United menang di sini, Liverpool mempunyai 14 percubaan dan United mempunyai satu. Hari ini Liverpool melakukan dua percubaan. Dengan 65 peratus penguasaan anda perlu mengkritik Liverpool, bukan kami. Itu masalah mereka, bukan masalah kami."

Mourinho, yang membawa United kekal tiga mata di belakang Liverpool dan lima mata di belakang Manchester City dan Arsenal di tempat ketujuh, menambah: "Kami menghalang mereka untuk bermain, tetapi mereka juga melakukan dengan baik dalam aspek pertahanan.

"Mereka menggunakan [Emre] Can dan [ Jordan] Henderson untuk sebab-sebab tertentu, dan mereka lakukannya selama 90 minit, mereka biasanya menonjolkan lebih ramai pemain di bahagian serangan.

"Mereka sangat berhati-hati, mereka sentiasa mengekalkan Can dan Henderson dalam posisi. Mereka hanya mempunyai satu pemain di belakang tiga lagi pemain serangan, jadi saya fikir bahawa ia adalah niat untuk mencuba dan mengawal kami. Mereka juga melakukannya dengan baik.

"Saya rasa ia adalah prestasi yang baik, perlawanan yang sukar bagi kami dan bagi mereka. Saya rasa kami mengawal permainan taktikal dan kami mengawal permainan emosi, dan ia bukan mudah untuk melakukan kedua-dua perkara itu di sini.

"Keputusan, saya rasa boleh diterima, kami mahu lebih untuk tempoh yang lama dalam permainan, yang kami sangka boleh menjadi positif. Tetapi kami tidak menjaringkan gol dan tidak menang, tetapi saya fikir ia prestasi yang sangat positif. "