"Perubahan dalam hierarki bola sepak Inggeris menyaksikan Manchester United tidak lagi mampu mengekalkan dominasi mereka dalam pasaran pemain."

Demikian luahan pengendali pasukan itu, Jose Mourinho.

Dalam era 90-an sehingga awal abad ke-21, The Red Devils mampu memperoleh bintang terbaik dunia tanpa perlu berusaha keras.

Selepas tempoh penjimatan dalam era Alex Furguson, United memecahkan rekod dunia dengan mengikat kembali Paul Pogba daripada Juventus, termasuk berbelanja besar bagi mendatangkan Romelu Lukaku, Nemanja Matic dan Fred.

Namun, Mourinho berasakan waktu untuk mereka memenangi perebutan pemain pilihan daripada seteru domestik mereka kini sudah berakhir.

"Ia bergantung," katanya dalam sidang media.

"Saya akan memberikan satu contoh yang baik dan saya harap kamu semua dapat memahaminya dengan betul.

"Berdasarkan sejarah, adakah Manchester United lebih baik berbanding Tottenham Hotspur?

"Semua pihak akan mengatakan ya.

"Bolehkah kami datang ke Tottenham dan membeli pemain mereka? Tidak kerana mereka tidak mahu menjual atau mereka lebih baik daripada kami.

"Zaman dahulu, siapakah pemain terbaik Tottenham? Micheal Carrick?

"Beberapa tahun kemudian, siapakah pemain terbaik mereka? Dmitar Berbatov?

"Kini, mampukah kami ke sana untuk membawa Harry Kane, Dele Alli, Christian Eriksen dan Son Heung-min?

"Tidak boleh.

"Jadi siapa pasukan yang lebih baik? Mereka atau kami?" katanya lagi.