Jose Mourinho bertegas bahawa taktik Jurgen Klopp – dan bukan taktikal dirinya sendiri – yang perlu diperhalusi selepas Liverpool dan Manchester United terikat dalam perlawanan berkesudahan 0-0 yang hambar di Anfield, malam tadi.

United ketinggalan dua mata di belakang Manchester City di puncak Liga Perdana, dengan pasukan tetangga mereka itu membelasah Stoke City 7-2, selepas United tidak menunjukkan banyak keinginan untuk menyerang.

Tetapi Mourinho mengalihkan tumpuan kepada kecederaan jangka panjang Paul Pogba dan Marouane Fellaini sebagai faktor-faktor yang menghalangnya daripada meraih penguasaan di bahagian tengah.

Tambahan, dengan Liverpool ketinggalan tujuh mata di belakang United, pengurus berbangsa Portugis itu menjangkakan musuhnya, Klopp, memisahkan gandingan tiga pemain tengah, Emre Can, Jordan Henderson dan Georginio Wijnaldum, dan memburu kemenangan.

“Kami datang untuk tiga mata tapi dalam separuh masa kedua, kami berasakan ia sukar dengan dinamika perlawanan,” Mourinho memberitahu sidang akhbar.

"Saya hanya menanti Jurgen untuk lebih menyerang tapi dia mengekalkan tiga pemain tengah yang kuat di mana dia memiliki penguasaan.

“Dia memutuskan untuk menukar seorang demi seorang pemain dan barisan tengahnya hari ini lebih kuat daripada barisan tengah saya.

“Saya ada (Ander) Herrera dan (Nemanja] Matic) dan tiada sesiapa di bangku simpanan. Saya tidak dapat membawa Herrera ke posisi No. 10, dia mana dia harus lebih efektif.

“Jadi, separuh masa kedua itu sukar buat kami.

“Jika kami menjaringkan satu gol dalam babak pertama, mungkin babak kedua adalah berbeza. Kemudian, dia mengambil risiko, dia mengubah strukturnya.

"Apabila saya membawa masuk (Jesse) Lingard dan (Marcus) Rashford, saya menanti untuk dia memberikan saya lebih banyak ruang tapi dia tidak memberikannya,” katanya lagi.

"Separuh masa kedua itu sedikit seperti permainan catur tapi lawan saya tidak membuka pintu untuk saya memenangi perlawanan ini.”