Mourinho miliki hubungan baik dengan pemain United

Oleh Staff Writer 30 November 2018 125
Mourinho miliki hubungan baik dengan pemain United
Jose Mourinho memiliki hubungan yang sangat baik dengan pemain Manchester United, kata pertahanan kelab Liga Perdana Inggeris itu, Diogo Dalot.

Bekas benteng FC Porto itu merupakan salah seorang daripada tiga pemain baru yang menyertai United pada musim panas lalu setelah Mourinho merungut tentang kekurangan The Red Devils berbelanja.

Mourinho mengkritik pasukan bimbingannya itu setelah terikat tanpa jaringan ketika berdepan Crystal Palace tatkala Romelu Lukaku dilaporkan marah selepas digugurkan sewaktu aksi berdepan majikan lamanya, Everton.

Namun, Dalot menegaskan tiada masalah di antara Mourinho dan pasukannya walaupun United kini menduduki tangga kelima liga, dibezakan 14 mata dengan pendahulu dan seteru utama, Manchester City.

"Mourinho memainkan peranan besar untuk saya hadir ke sini," kata Dalot kepada MUTV. "Dia sangat penting.

"Pencapaiannya menceritakan tentang dirinya, cara dia mengendalikan pasukan dan bagaimana dia telah mengubah bola sepak.

"Selain itu, dia juga warga Portugal. Hubungan yang dia miliki dengan pemain sangat baik dan ia membuatkan saya kagum.

"Dia membuatkan saya hadir ke sini dan kepercayaannya terhadap saya sangat bagus. Sebab itu saya bersama United. Dia menjadi faktor utama saya datang."

Dalot juga menambah bahawa bekas bintang United, Cristiano Ronaldo, menjadi inspirasi utama dalam kariernya serta sebab untuk dia ke Old Trafford.

"Saya tidak perlu menjelaskan tentang Ronaldo kerana anda telah mengenalinya," tambah Dalot.

"Bagi saya, apa saya ingat, dia menjadi inspirasi untuk saya bermain bola sepak. Sudah tentu jika anda bertanya sama ada Ronaldo menjadi faktor untuk saya ke sini, jawapannya ya.

"Cara dia beraksi di sini, berkembang dengan baik adalah sesuatu yang sukar dipercayai. Saya mahu mengikut jejak itu, terus meningkat dan beraksi bertahun-tahun bersama United.

"Ronaldo menjadi inspirasi untuk semua orang, pemain, termasuk pemain muda. Untuk memiliki pemain sepertinya di dunia, ia perlu dinikmati selagi dia bersama pasukan, beraksi dan memberi peluang untuk semua menikmati bola sepaknya.

"Dia meraih tempoh yang membanggakan bersama United dan diharapkan, satu hari nanti peminat United akan berasa gembira memiliki Dalot di sini."

Unied bakal bertandang ke Southampton esok setelah mengesahkan tempat dalam pusingan kalah mati Liga Juara-Juara Eropah susulan kejayaan menundukkan Young Boys 1-0 hasil jaringan tunggal Marouane Fellaini.
 

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen