Jose Mourinho mengeluarkan kenyataan selepas meninggalkan Manchester United susulan dipecat kelmarin, dengan memuji setiap individu dalam kelab sambil meminta media memberi ruang untuknya sehingga kembali ke arena bola sepak.

Mourinho menamatkan tempoh hampir tiga tahun di Old Trafford selepas pihak kelab mengumumkan untuk menamatkan khidmatnya kelmarin.

Pengendali dari Portugal itu ditanya oleh barisan wartawan semalam dan bekas pengurus Chelsea dan Real Madrid itu menegaskan dia dan United masing-masing akan tetap meneruskan kehidupan seperti biasa.

Mourinho digantikan oleh bekas pemain United, Ole Gunnar Solskjaer, yang akan mengendalikan The Red Devils buat sementara sehingga penghujung musim ini.

"Saya berbangga untuk menggunakan logo Manchester United sejak hari pertama tiba dan percaya semua peminat United dapat melihatnya," kata Mourinho.

"Sama seperti kelab sebelum ini, saya telah bekerjasama dengan ramai individu hebat dan percaya ada antara mereka yang akan menjadi kawan saya seumur hidup.

"Saya tahu anda sedar tentang prinsip profesional saya. Setiap bab dalam kehidupan, saya akan menunjukkan rasa hormat dan tidak mengeluarkan kenyataan tentang bekas rakan sekerja.

"Saya harap media juga akan menghormati situasi saya dan membiarkan saya melalui kehidupan normal sehingga kembali dalam arena bola sepak. Selamat Hari Krismas."

United membuat keputusan untuk memecat Mourinho selepas kekalahan 3-1 di tangan Liverpool, Ahad lalu, menyaksikan The Red Devils ketinggalan 19 mata di belakang pendahulu liga itu.