MANCHESTER UNITED 2 EVERTON 1

Jose Mourinho memuji Anthony Martial atas perkembangan "otak dan badannya" sehingga layak muncul sebagai penyumbang utama Manchester United.


Lapan hari selepas membantu United mengubah rentak perlawanan di Chelsea, pemain berusia 22 tahun itu sekali lagi menonjolkan prestasi memberangsangkan dalam kemenangan 2-1 ke atas Everton, awal pagi tadi.

Penggempur Perancis berkenaan, yang dilaporkan menolak tawaran lanjutan kontrak pada minggu lalu, memenangi penalti untuk jaringan pembukaan Paul Pogba sebelum meledak jaringan selepas rehat.

Martial terpaksa sabar menantikan peluangnya di Old Trafford dan akhirnya berjaya menambat hati pengurusnya.

"Saya fikir dia berjaya mengatasi masalah proses perkembangannya. Ia mengambil masa yang lama untuk dia memahami apa yang kami tuntut daripadanya," kata Mourinho selepas perlawanan.

"Ia mengambil masa yang lama untuk otaknya, malah badannya juga, untuk bersedia beraksi seperti yang kami hajati.

"Dia sudah memahami perkara-perkara yang tidak dilakukannya sebelum ini dan dia mahu beraksi, dia sedar bahawa untuk bermain dan konsisten dalam pasukan, dia harus mendapatkan rentak tertentu.

"Tanpa jaringan sekalipun, persembahannya pada hari ini tetap baik dan apa yang saya mahukan daripadanya adalah tepat. Anda tidak mampu menjaringkan gol dalam setiap perlawanan, akan ada perlawanan yang anda gagal menyumbat gol.

"Namun, dalam perlawanan, sekiranya anda tidak menjaringkan gol, tidak mencipta peluang gol, gerakan anda tidak berada di tahap yang tinggi tetapi anda mempunyai keseimbangan tertentu dalam prestasi, saya rasa ia sudah memadai."

Mengenai pujian terhadap kebangkitan Martial, Mourinho menambah: "Apabila pemain tampil buruk, itu adalah kesalahan saya dan ketika pemain beraksi dengan baik itu, tanggungjawab saya!

"Jujurlah atau fahamkanlah dan berlaku adil. Apabila pemain bermain buruk, ia sebahagian kesalahan saya dan juga pemain. Begitu juga ketika pemain bermain dengan baik, ia sebahagian daripada saya dan pemain."

Mourinho turut yakin Pogba akan meneruskan tanggungjawabnya untuk menyepak penalti meskipun pemain tengah berkenaan mengakui gaya lariannya mengambil sepakan itu perlu dipertimbangkan semula selepas Jordan Pickford menafikan penaltinya dalam babak pertama.

"Saya suka pemain yang mahu mengambilnya. Paul mahu menyepaknya (penalti) dan bagi saya, ia sesuatu yang hebat. Jika dia gagal, maka dia gagal," kata pengurus Portugis tersebut.

"Bolehkah dia memperbaiki penaltinya?" Saya fikir dia mampu, saya fikir penjaga gol sudah tahu corak lariannya dan mereka tidak bergerak, mereka menunggu sehingga langkah terakhir untuk membuat keputusannya. Jadi saya fikir dia mungkin perlu belajar soal itu."