Jose Mourinho menyimpan rapi rahsia berhubung kemungkinan Gareth Bale akan kembali ke Tottenham tatkala rundingan dengan Real Madrid masih berjalan.

Bale meninggalkan Spurs untuk ke Madrid dalam perpindahan bernilai €100 juta (RM489.5j) pada 2013 setelah mengharungi beberapa musim yang luar biasa di White Hart Lane.

Namun, walaupun berjaya merangkul deretan anugerah -- termasuk empat trofi Liga Juara-Juara (UCL) dan dua gelaran LaLiga -- peluang bintang kebangsaan Wales itu dalam skuad utama semakin terhad di bawah kendalian Zinedine Zidane.

Ejennya, Jonathan Barnett, yang pada Sabtu lalu mengesahkan rundingan di antara Madrid dan Spurs sedang berlangsung, memberitahu Stats Perform News: "Kami sedang berunding pada masa ini, itu saja. Saya tidak akan membincangkan (lebih lanjut)."

Dalam sidang akhbarnya menjelang perlawanan Liga Europa dengan Lokomotiv Plovdiv pada awal Jumaat ini, Mourinho menegaskan bahawa dia tidak akan mengulas mengenai situasi pemain yang berada di kelab lain.

"Gareth Bale adalah pemain Real Madrid, saya tidak mahu mengulas pemain di kelab lain," katanya.

"Itu bukan tugas saya untuk mengadakan rundingan dengan ejen atau secara jujur, saya tidak mahu mengulasnya. Terutama pemain yang menjadi milik kelab lain.

"Saya tidak akan memberikan sebarang pendapat lagi. Sekali lagi, saya ulangi, saya tidak akan mengulas mengenai Gareth Bale. Dia merupakan pemain Real Madrid dan saya harus menghormatinya."